PEMILIHAN parti KEADILAN yang dijadualkan bverlangsung Mei ini bertambah rancak apabila ia bakal menyaksikan pertembungan dua nama besar dalam parti itu.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini secara rasmi mengumumkan akan bertanding merebut jawatan timbalan presiden parti sekaligus akan mencabar bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mengumumkan bertanding jawatan itu lebih awal sebelum ini.
“Dengan penuh keinsafan dan rendah diri saya Saifuddin Nasution mengumumkan pada hari ini bahawa saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden KEADILAN pada pemilihan kali ini,” katanya.
Saifuddin sebelumnya berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Cabang, Wanita dan Pemuda seluruh Kelantan hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pertembungan dengan Rafizi, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu menganggapnya sebagai persaingan “sahabat” dalam menyumbang kepada parti.
“Sikap saya betul-betul datang dari jiwa saya bahawa saya alukan pengumuman awal sahabat saya, Rafizi yang ikut menawar diri (tanding jawatan).
"Sejujurnya persaingan ini tawaran dua rakan yang ingin menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi dalam perlembagaan parti, ini sikap dan pendirian saya,” katanya.
Sebelum ini Rafizi, yang juga Naib Presiden parti itu mengumumkan kembali aktif dalam dunia politik sambil menyatakan hasrat bertanding untuk jawatan tersebut.
Dalam pemilihan sebelum ini Rafizi tewas kepada Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan nombor dua penting itu. Azmin bagaimanapun kemudian menyertai 'Langkah Sheraton' dan meninggalkan parti itu bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama beberapa parti yang kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Sementara itu kata Saifuddin, beliau berjanji akan menghormati segala keputusan ahli parti sama ada mahu memilih atau menolak beliau dalam merebut jawatan itu dan sekiranya terpilih, akan menggunakan pengalaman 23 tahun dalam parti itu.
![]() |
Persaingan yang untungkan parti KEADILAN |
Dalam perkembangan lain, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) bakal menyaksikan pertembungan dua bekas aktivis pelajar apabila Fahmi Zainol bakal berdepan Adam Adli, manakala jawatan ketua Wanita parti itu bakal menyaksikan pertembungan antara Senator Dewan Negara Fadhlina Sidek dan Ketua Wanita KEADILAN Selangor Rodziah Ismail.
0 Comments