BEKAS Presiden UMNO, Najib Razak memberi penjelasan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun bahawa 1MDB memang membuat bayaran terhadap hutang pokok pada 2017 dan 2018.
Ahli parlimen Damansara, Tony Pua mendedahkan perkara itu berdasarkan surat penjelasan Najib kepada Azhar susulan usul agar Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan yang didakwa cuba mengelirukan dewan berhubung isu 1MDB.
Dipetik Malaysiakini, pembayaran itu didakwa dibuat menerusi wang yang diperolehi daripada penjualan aset 1MDB seperti Edra Energy dan Tun Razak Exchange.
Tony Pua yang merupakan setiausaha politik menteri kewangan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelumnya meminta Azhar agar memberi maklum balas kepada kesemua empat penjelasan yang dihantar Najib berhubung usul dikemukanya terhadap Najib sebelum ini.
Katanya, rekod menunjukkan pembayaran hutang 1MDB sebanyak RM7.47 bilion pada 2017 dan RM1.65 bilion pada 2018 dilakukan oleh Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Perolehan daripada Edra Energy dan Tun Razak Exchange telah pun digunakan oleh 1MDB sebelum 2017.
Najib pada 2 Mac lalu memberitahu Dewan Rakyat bahawa tiada satu sen pun dana awam digunakan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.
Kenyataan itu walau bagaimanapun bertentangan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan juga bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bahawa dana awam perlu digunakan untuk menjelaskan hutang besar 1MDB.
Zafrul berkata kerajaan masih kekurangan RM17 bilion untuk menepati obligasi hutang 1MDB antara 2023 hingga 2039.
Sementara itu Tony Pua turut berkata, Najib dalam surat kepada speaker cuba mempertahan kenyataan dibuatnya itu dengan memberitahu bahawa perbahasannya pada 2 Mac lalu hanya merujuk kepada pemerintahan HARAPAN.
![]() |
Najib sebelum ini dibidas Menteri Kewangan |
“Secara jelas, YB Pekan telah menonjolkan niatnya untuk mengelirukan Dewan Rakyat. Malah, YB Pekan telah menggandakan kesalahannya dengan cubaan untuk mengelirukan Tan Sri (Azhar) dalam penjelasannya kepada Tan Sri,” kata Tony Pua.
Beliau turut berpandangan penjelasan Najib itu hanyalah “afterthought” (sesuatu yang difikirkan kemudian) memandangkan tiada siapa pun yang mendengar atau membaca teks perbahasan Najib akan mencapai kesimpulan yang sama.
0 Comments