Tekad Maszlee mahu jadikan Layang-Layang kawasan pelancongan

BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berharap pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang dapat memberi peluang untuknya mewakili penduduk di kawasan itu.

Katanya, beliau mahu melakukan lebih banyak perubahan untuk DUN layang-layang seperti mana perubahan dibawanya di bawah Parlimen Simpang Renggam.

“Pertama saya bersama mereka sebagai wakil mereka di Parlimen, perjuangkan isu-isu berkaitan mereka dari segi nasional. Kini, saya meminta diberi kepercayaan untuk mewakili mereka dalam DUN pula,” katanya.

Difahamkan bekas Ahli Akademik itu telah banyak menyelesaikan isu di kawasan Parlimen itu, antara paling berjaya adalah isu sampah yang menyebabkan masalah gangguan bekalan air bersih dan pencemaran udara.

Maszlee juga berkata, sepanjang menjadi Ahli Parlimen di Simpang Renggam pelbagai pembaharuan telah dilakukan di kawasannya, antaranya membawa masuk universiti pertama, iaitu Open University Malaysia (OUM), kolej komuniti dan restoran McDonald’s.

“Walaupun (bekas Perdana Menteri) Najib Razak pernah ‘troll’ bila saya kata McDonald’s telah berjaya masuk di Simpang Renggam, bagi anak muda dan peniaga serta masyarakat, ia satu perkara besar,” katanya yang menjelaskan sedang dalam proses membawa masuk Starbucks dan lain-lain “outlet” ke Simpang Renggam bagi membuka peluang pekerjaan dan lonjakan ekonomi setempat.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Maszlee yang mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) akan berdepan bekas ADUN Layang-Layang, Ab Mutalip Abd Rahim daripada Barisan Nasional (BN) dan  K Alagathiran mewakili Perikatan Nasional (PN) dan aktivis serta Ahmad Shafiq Othaman selaku calon Pejuang.

Menyentuh masa depan DUN Layang-Layang pada pandanganya, Maszlee melihat potensi menjadikan kawasan itu sebagai pusat tarikan pelancongan tempatan dan lebih dikenali di mata dunia.

Layang-Layang miliki banyak tinggalan sejarah
Katanya, jika Kluang dikenali sebagai ‘Kluang Rail Coffee’ atau kopi stesen kereta api, beliau juga mahu Layang-Layang dikenali dengan ‘Layang-Layang Rail Coffee’.

“Kita juga tidak boleh ketepikan unsur warisan seperti adanya stesen kereta api lama di Renggam dan Layang-Layang. Memang saya telah memulakan usaha untuk jadikannya tapak dan kita juga ingin Layang-Layang satu hari nanti dikenali sebagai ‘Layang-Layang Rail Coffee’,” katanya.

Post a Comment

0 Comments