PRESIDEN Parti Putra, Ibrahim Ali membidas sikap ditunjukkan pemimpin dua parti Melayu yang 'membogelkan antara satu sama lain'.
Ibrahim ketika merujuk sikap Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yassin dengan musuhnya, Ahmad Zahid Hamidi yang menurutnya memperlihat betapa parah sikap pemimpin Melayu yang akhirnya akan memalukan umat Islam.
Tambahan lagi jelasnya persengketaan itu berlaku ketika rakyat mengharapkan sesuatu dapat dilakukan bagi memulihkan kehidupan mereka yang terjejas akibat Covid-19 dan pengurusan ekonomi yang gagal akibat salah guna kuasa serta rasuah.
“Politik Negaraku Malaysia semakin parah dan memalukan, di manakah umat Islam Malaysia mahu simpan air muka dan keaiban?
“Muhyiddin mendedahkan Zahid datang berjumpanya membawa fail bertimbun minta tolong selesaikan kes mahkamahnya. Waduh.. malunya. Presiden parti keramat, Mahiadin sudah bogelkan Zahid.
“Zahid yang menerima tempelak Mahiadin, bertindak balas dengan cara menangkisnya. Zahid kata, beliau sanggup bersumpah laknat bagi menafikan tuduhan Mahiadin sebagai fitnah dan tidak benar sama sekali.
“Sapa yang berkata benar?,” soal beliau dalam kenyataannya.
Mahiaddin dalam ceramah di Tangkak pada Khamis lalu mendakwa Ahmad Zahid pernah bertemunya dengan membawa fail bertimbun untuk meminta campur tangan dalam kes mahkamah yang dihadapinya.
BACA: Mahiaddin dakwa Zahid dan Najib minta tolong 'selesai' kes mahkamah
Menyifatkan dakwaan Mahiaddin sebagai fitnah, Ahmad Zahid dalam kenyataannya berkata sanggup dan bersedia sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Ahli Parlimen Pagoh itu.
Sementara itu Ibrahim menyatakan rasa bimbang terhadap tahap kesihatan mental pemimpin politik dan negara kini amat dikhuatiri dalam keadaan kritikal.
“Tidak ada rasa malukah dan di manakah nilai-nilai ajaran Islam serta adat budaya bangsa?
“Mutakhir ini sudah bertimbun berita-berita jijik melibatkan banyak pemimpin bertaraf perdana menteri, menteri dan menteri besar. Malu dan memalukan.
“Mungkin sudah tiba masanya, sebelum keadaan makin melarat, ada di kalangan ahli politik eloklah buat pemeriksaan kesihatan mental dan berubat di Tanjung Rambutan atau di Tampoi, Johor,” sindir beliau.
Ibrahim sinis gesa pemimpin periksa mental |
“Wahai pemimpin Melayu, berhentilah memalukan bangsa sendiri. Perebutan kuasa ini tidak memberi apa-apa keuntungan pun kepada rakyat,” katanya.
0 Comments