"Naratif palsu" kestabilan dan perpaduan tak untungkan rakyat - Anwar


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas "naratif palsu" kestabilan politik dan perpaduan oleh Umno dalam mempertahankan gesaan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Johor.


Ketua Pembangkang di Parlimen itu menegaskan bahawa kerajaan sewajarnya menumpukan usaha dalam  menyelesaikan isu yang melibatkan rakyat, termasuk peluang pekerjaan, kualiti pendidikan dan kos sara hidup dan bukannya mengukuhkan kuasa.
 
“Jadi apa yang nak dibanggakan oleh BN dan PN ini? Yang riuh-rendah gegak-gempita soal kestabilan, kestabilan untuk apa?

“Stabil untuk senang ambil tanah? Stabil untuk senang rompak? Stabil ini untuk memastikan nasib rakyat terbela,” kata Anwar pada majlis pelancaran jentera pilihan raya KEADILAN Johor di Pulai, Johor Bharu.

Anwar sebelumnya mengulas kenyataan penyandang Menteri Besar dari Umno Hasni Mohammad yang mempertahankan tindakan membubarkan DUN dengan alasan kerajaan pimpinan BN tidak boleh terus berfungsi dengan hanya majoriti satu kerusi daripada 56 kerusi DUN dan memerlukan mandat baru untuk meneruskan rancangannya di Johor.

Menyentuh dari aspek menyeluruh, Anwar berkata naratif palsu itu juga terbukti selama 60 tahun pentadbiran BN sebelum HARAPAN mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 2018.

Naratif kestabilan jangan mengelirukan
“Stabil untuk apa? Stabil ini untuk memastikan nasib rakyat terbela..60 tahun memang stabil! Tapi tidak menjamin keselesaan hidup rakyat. Jadi naratif stabil ini jangan mengelirukan.

“Begitu juga naratif perpaduan. Semua bicara soal perpaduan. Perpaduan Melayu, kesatuan ummah, perpaduan rakyat.

“Ya, negara yang merdeka harus bersatu-padu tapi untuk apa? Bersatu untuk keselesaan rakyat. Bukan bersatu turun-temurun punggah kekayaan,“ kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Post a Comment

0 Comments