Pemilihan 2022: KEADILAN galak ahli undi guna aplikasi Adil


PEMBANGUNAN
Aplikasi Adil yang bakal digunakan dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2022 dalam peringkat akhir pembangunannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) parti itu, Dr Zaliha Mustafa, berkata, aplikasi tersebut bakal dilancarkan dalam masa yang terdekat.

Namun buat masa ini sudah boleh dimuat turun dalam Google Play Store dari telefon operasi Android selain sedang menanti kelulusan dari Apple App Store untuk telefon yang menggunakan operasi iOS.

Tambah Dr Zaliha, aplikasi Adil masih dalam tempoh percubaan dan JPP akan mengumumkan secara rasmi setelah benar-benar dapat digunakan sepenuhnya.

“Pada awalnya, ia mempunyai dual fungsi iaitu kemas kini data keanggotaan yang sekali gus akan menjadi daftar pemilih dan bagi anggota menyatakan persetujuan untuk mendaftar sebagai pengundi dalam talian.

“Jika tidak anggota secara automatik akan merupakan anggota yang boleh hadir secara fizikal di lokasi-lokasi pengundian yang akan ditetapkan oleh JPP kelak,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pemilihan parti itu bagi sesi 2022 hingga 2025 ditangguhkan ke 13 hingga 18 Mei ini. Ia selaras dengan peruntukan Fasal 47.3 Perlembagaan parti itu.

Proses itu merangkumi semua pemilihan parti bagi jawatan termasuk sayap wanita dan pemuda di peringkat cabang.

“Pemilihan bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden serta jawatan yang sama di sayap wanita dan pemuda bagi peringkat pusat akan turut diadakan pada tarikh sama,” katanya dipetik.

Ahli parti digalakan jadi pengundi atas talian
Sementara itu Dr Zaliha dalam kenyataan juga berkata, JPP benar-benar menggalakkan dan menyeru seramai mungkin anggota-anggota parti mendaftarkan diri sebagai Pemilih Atas Talian (PAT) kerana ini akan lebih memudahkan urusan pemilihan khususnya di musim jangkitan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, kemas kini yang dibenarkan dari aplikasi tersebut adalah terhad hanya kepada beberapa maklumat asas iaitu nombor telefon, alamat e-mail dan juga alamat tempat tinggal.

“Pemilih harus benar-benar pasti untuk meletakkan satu sahaja nombor telefon yang bakal digunakan kelak dalam proses pemilihan dalam talian yang dijangkakan akan dilaksanakan pada pertengahan Mei 2022,” ujarnya lagi.


Post a Comment

0 Comments