BEKAS Pengerusi KEADILAN Perak membidas tidak tanduk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bertindak 'mengganggu' kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang bakal ditandingi calon parti KEADILAN.
Dalam satu kenyataan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyifatkan langkah MUDA meletakkan calon di kerusi terbabit sebagai mewajarkan semua parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) menuntut semula kerusi yang ditawarkan kepada parti baharu itu.
Tegasnya, tiada manfaat bekerjasama dengan parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, jika mereka terus berlagak seperti “abang besar”.
“Tindakan MUDA yang memutuskan untuk meletakkan calon di kerusi Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini sudah menjejaskan kerjasama dan usaha terhadap muafakat penyatuan parti pembangkang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan MUDA dan KEADILAN akan bertembung di DUN Larkin, selepas parti baharu itu mengumumkan calonnya di kerusi berkenaan.
Sedangkan KEADILAN pada 14 Feb lalu sudah mengumumkan Dr Zamil Najwah Arbain sebagai calon yang akan bertanding di Larkin.
KEADILAN sebelum ini telah menawarkan tiga kerusi kepada MUDA dalam PRN Johor, namun difahamkan tamat tanpa mencapai sebarang persefahaman.
ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi mendakwa parti baharu itu hanya mahu bertanding di “kerusi selamat” yang mudah menang.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin pemuda KEADILAN dipetik laporan Malaysiakini menegaskan bahawa MUDA tidak sepatutnya meletakkan calon di kerusi yang ditandingi calon HARAPAN.
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Damansara, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, apabila MUDA bersetuju untuk menerima tawaran enam kerusi daripada HARAPAN bermaksud telah bersedia untuk bekerjasama dengan HARAPAN sebagai sebuah blok.
Wajar putus kerjasama jika MUDA bersikap angkuh |
"Sekiranya Muda masih berhasrat untuk bertembung, maka jelaslah kehadiran Muda hanyalah sebagai ejen perpecahan dan wajarlah HARAPAN menarik semula kerusi yang telah diberikan," tegas Syed Badli.
0 Comments