Kerusi DUN Puteri Wangsa wajar dipulangkan kepada Napsiah

 


TIMBALAN Ketua Penerangan parti KEADILAN menggesa supaya parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memulang semula kerusi Puteri Wangsa yang sebelum ini diberikan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi ditandingi Ketua Wanita KEADILAN Johor, Napsiah Khamis

Manivanan Gowin hanya dengan langkah itu peluang pembangkang memenangi kerusi bagi kerusi itu akan lebih cerah. Tambahan lagi jelasnya KEADILAN dan Napsiah telah  melakukan kerja-kerja politik di kawasan DUN itu sejak lebih setahun lalu.

"Napsiah juga telah melakukan gerak kerja secara agresif di DUN tersebut dan mempunyai jentera kempen teratur yang diselaraskan untuk tempoh masa melebihi setahun," katanya.

Sebagai rekod, Napsiah Khamis merupakan anak kelahiran kawasan DUN Puteri Wangsa.

Kerusi itu yang jenteranya telah dipersiapkan Napsiah kemudian diserahkan kepada Amanah melalui rundingan yang dijalankan dalam kalangan pemimpin parti komponen gabungan tersebut.

Namun Napsiah baru-baru ini melahirkan rasa kecewa setelah kerusi yang dilepaskanya diserahkan mentah-mentah kepada parti Muda.

“Saya cuba berlapang dada apabila kerusi ini (DUN Puteri Wangsa) diberikan kepada Amanah atas kesepakatan rakan lama HARAPAN.

“Saya sudah siapkan jentera-jentera untuk calon Amanah, tetapi Amanah dengan mudah berikan kerusi ini kepada Muda?

"Apabila Amanah berikan kepada Muda, pada saya ini adalah pengkhianatan kepercayaan yang akar umbi berikan. DUN ini (Puteri Wangsa) menang majoriti 24,000 (pada Pilihan Raya Umum Ke-14), mudahnya memberi kerusi yang paling berharga di Johor kepada satu parti yang belum pasti kesetiaannya,” jelasnya.

Untuk rekod, daripada enam kerusi yang diberikan kepada Muda, Puteri Wangsa dilihat sebagai kerusi yang paling berpotensi untuk dimenangi memandangkan HARAPAN - dan sebelumnya Pakatan Rakyat - berjaya menang di kawasan itu selama dua penggal.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kerusi Puteri Wangsa diserahkan kepada Bersatu sebagai sebahagian daripada rundingan bagi membolehkan parti tersebut bertanding di majoriti kerusi di negeri Johor pada PRU ke-14 lalu.

Bersatu menang di situ dengan majoriti 24,949 undi, tetapi parti berkenaan berpaling tadah dengan meninggalkan HARAPAN pada 2020.

Napsiah paling layak tandingi DUN Puteri Wangsa
Sementara itu tambah Manivanan, sekiranya benar perjuangan Muda berteraskan kefahaman strategik dan matlamat bersama untuk memastikan kemenangan rakyat dan membawa kestabilan politik di Johor, sewajarnya mereka memberikan kerusi Puteri Wangsa kepada Napsiah.

"Sekiranya Syed Saddiq menghayati perjuangan ini secara ikhlas dan jujur, seharusnya (Muda) mempertimbangkan untuk memulangkan kerusi tersebut untuk memastikan kemenangan HARAPAN atau blok pembangkang.