CADANGAN supaya calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) mendapat sokongan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pengambilan ujian tersebut dapat menambah nilai positif dan secara langsung meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kepimpinan mereka.
Meskipun senarai calon yang bakal bertanding masih belum dimuktamadkan, namun, beliau mengalu-alukan kepada mereka yang ingin menjalankan ujian tersebut.
“Secara peribadi, saya boleh bersetuju dengan cadangan tambah nilai bagi calon-calon PRN Johor.
“Kalau pra-Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ramai calon dari Pakatan Harapan (HARAPAN) termasuk saya sendiri telah melakukan perisytiharan harta secara terbuka, dan ini telah sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa kami tiada isu atau masalah berhubung rasuah.
“Bagi ujian psikometrik ini, saya alu-alukan bakal-bakal calon untuk tampil walaupun parti tidak mengarahkannya. Cuma pada waktu ini senarai calon belum dimuktamadkan,” katanya dipetik.
RBTag adalah alat untuk mengukur kecenderungan seseorang individu berkaitan dengan isu integriti yang menjurus kepada perlakuan salah guna kuasa dan rasuah.
Mampu beri tambah nilai kepada calon |
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak yang mencadangkan ujian itu untuk PRN Johor berkata, ujian RBTag bukan untuk mencari salah, sebaliknya demi kebaikan bakal calon dan ia tidak menjejaskan peluang mereka untuk menjadi calon.
0 Comments