Bekas Ahli Parlimen nasihat Umno tak terkejut dengan sikap PAS


PENGERUSI parti KEADILAN Terangganu menasihatkan pemimpin Umno suapaya tidak terkejut dengan sikap ditunjukkan pemimpin PAS.

Azan Ismail berkata, pemimpin PAS bukan sahaja gemar melabelkan pihak lain dengan pelbagai gelaran, bahkan  boleh melakukan perkara lebih daripada itu.

"Melihat kepada percakaran pimpinan Umno selepas parti mereka digelar sebagai 'itik patah kaki', saya mahu nasihatkan mereka supaya tidak terkejut dengan sikap pemimpin PAS.

"Label-melabel dan memberi gelaran sudah menjadi amalan PAS sejak sekian lama, ia perkara biasa dan yang luar biasa PAS juga boleh mungkir janji di sebalik muafakat dan perjanjian," katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Azan berkata, pengalaman bekerjasama dengan PAS membolehkannya membuat pandangan tersebut.

Bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga mendakwa pernah menjadi mangsa kepada pengkhianatan PAS.

Sebelum ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat kenyataan mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar Muafakat Nasional (MN) yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut bentuk pengkhianatan didakwa dibuat PAS, Azan berkata semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, PAS bertindak meletakkan calon mereka di kerusi yang sudah dimuktamadkan untuk KEADILAN.

Malah, katanya, ada pemimpin PAS juga menuduh salah seorang calon parti KEADILAN sebagai penjual pil kuda, selain mendakwaan ada kalangan pimpinan mereka menganut ajaran komunis.

Azan buat dakwaaan berdasarkan pengalaman
"Jadi sewajarnya Umno sedar dan berwaspada bahawa ketika PAS menyeru muafakat dan perpaduan ummah, tetapi tidak mustahil untuk PAS tetap melakukan kecurangan.

"Gelaran itik kaki tempang itu biasa, tahap lebih buruk belum sampai. PAS boleh buat lebih jauh daripada itu.

"Jangan sampai alami nasib yang sama dengan KEADILAN sebelum ini dalam bekerjasama dengan PAS," jelasnya menurut laporan itu.

Post a Comment

0 Comments