Amanah sokong KEADILAN di kerusi bertindih dengan Muda

 


PENGARAH Komunikasi Amanah, Khalid Samad memaklumkan bahawa parti itu akan berpegang teguh pada pendirian menyokong calon KEADILAN di kerusi yang menyaksikan pertembungan antara calon parti sekutu dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dengan Muda.

Pendirian itu dinyatakan Ahli Parlimen Shah Alam itu dalam kenyataan susulan pertindihan calon di DUN Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Kami dimaklumkan, oleh kerana gagal mencapai kata sepakat, maka akan ada pertindihan antara KEADILAN dan Muda di kerusi tertentu. Kami mengharapkan mereka akan terus berunding untuk mencari jalan serta formula terbaik hingga ke saat akhir.

"Amat malang seandainya berlaku juga pertindihan kerusi ini kerana HARAPAN telah membentuk satu kerjasama dengan Muda sejak awal. Situasi ini hanya akan menguntungkan BN dan PN di kerusi berkenaan.

"Namun, demikian Amanah terpaksa membuat pendirian untuk menghadapi kemungkinan ini. Bagi Amanah, KEADILAN adalah rakan gabungan. Oleh itu di mana berlakunya pertindihan antara KEADILAN dan Muda di kerusi yang telah diamanahkan kepada KEADILAN, Amanah akan menyokong calon KEADILAN," katanya.

Bagi kerusi Larkin, KEADILAN mempertaruhkan Dr Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka, manakala Ketua Penerangan Muda Johor Rasid Abu Bakar turut bertanding di kerusi itu.

Satu lagi parti pembangkang, Pejuang turut dilapor meletakkan calon mereka, sekaligus menyaksikan pertembungan sesama calon pembangkang yang akan berdepan calon dari BN dan PN.

Sebelum ini beberapa pemimpin pemuda dalam KEADILAN mengkritik Muda yang meletakkan calon mereka di kawasan ditandingi KEADILAN yang dilihat akan memberi kelebihan kepada lawan mereka.

Sementara itu Khalid berkata kerjasama pembangkang perlu terus diperkukuhkan bagi menyekat kemaraan "kluster mahkamah" dan "perompak kleptokrat".

Amanah beri keutamaan pada rakan gabungan
"Kalau pertindihan tidak dapat dielak di kerusi-kerusi tertentu, biarlah pertindihan dan persaingan antara parti-parti pembangkang dihadkan kepada kerusi-kerusi tersebut sahaja.

"Sambil semangat kerjasama antara pembangkang kekal dipertahankan di kerusi-kerusi selainnya, demi mendukung matlamat yang sama untuk menafikan kemenangan kepada Umno-BN serta menghalang kembalinya kepimpinan yang mendukungi 'kluster mahkamah' serta 'perompak-pencuri-kleptokrat'," katanya.

Post a Comment

0 Comments