Adakah k'jaan dah siasat dakwaan Leissner, soal Ahli Parlimen


KERAJAAN
dipersoal sama ada telah melakukan siasatan terhadap dakwaan dibuat oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner semasa perbicaraan 1MDB membabitkan Roger Ng di Amerika Syarikat.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam satu kenyataan berkata, agensi terbabit sepatutnya memulakan siasatan susulan keterangan mahkamah dan kemas kini status siasatan perlu diberikan.

“Mengapa tiada sebarang tangkapan walaupun pihak berkuasa tahu mengenai keterangan Leissner? Berapa lama lagi rakyat harus tunggu?” soalnya.

Leissner adalah saksi utama dalam perbicaraan rasuah Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia.

Menurut pihak pendakwaan, kedua-dua lelaki itu membantu menyalurkan berbilion-bilion ringgit dana daripada 1MDB untuk digunakan sebagai rasuah kepada ahli politik dan individu lain.

Sementara itu dipetik laporan FMT, Lim berkata, Leissner memberi keterangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan pindahan tukaran mata wang asing sebanyak USD1 bilion “dalam tempoh semalaman” daripada 1MDB kepada PetroSaudi International selepas suami bekas gabenor BNM didakwa menerima rasuah untuk “melaksanakannya”.

Leissner juga mendakwa bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat senaraian awam di Malaysia, yang mempunyai hubungan dengannya, mengugut untuk mendedahkan penglibatannya dalam skandal 1MDB dan dia membelikan untuk wanita itu rumah bernilai USD10 juta di London.

“Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jika ada sebarang siasatan dijalankan berhubung dua dakwaan Leissner itu,” katanya lagi.

Portal itu turut memetik kenyataan BNM bahawa semua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk kepada syarat bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953 yang berkuat kuasa sebelum 2013.

Lebih banyak perkara mengejutkan terdedah
Syarat serta kriteria yang mengawal selia pelaburan tersebut telus dan diterbitkan di laman sesawang BNM, tambahnya.

“Semua permohonan yang dihantar oleh 1MDB, termasuk permohonan yang dinyatakan di atas, adalah tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman yang digunakan dalam mana-mana permohonan yang dihantar oleh entiti lain kepada BNM,” kata bank pusat itu seperti dilapor.

Post a Comment

0 Comments