KETUA Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mempersoal tindakan Universiti Putra Malaysia (UPM) menganugerahkan 398 Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sepanjang tahun ini.
Mengambil contoh universiti terbaik di dunia yang menurutnya hanya menganugerahkan 20 penerima PhD dalam satu-satu masa, UPM tegasnya memberi penganugerahan Phd dalam jumlah luar biasa sehingga menimbulkan tanda tanya.
“Saya tertanya mengapakah begitu ramai yang dianugerahkan PhD di UPM sedangkan universiti- universiti di luar negara yang lebih tinggi rankingnya dalam senarai Times Higher Education misalnya, tidak menganugerahkan ijazah PhD sebanyak itu dalam setahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Shamsul yang merupakan bekas Timbalan Menteri turut mempersoalkan bagaimana pelajar PhD ini dinilai sekiranya seorang pelajar memerlukan seorang profesor sebagai penyelia bagi tujuan memantau, menyemak dan meluluskan tesis yang mereka hasilkan.
“Adakah UPM mempunyai tenaga pengajar sebanyak itu atau mereka diselia oleh pensyarah yang lebih rendah taraf akademiknya.
“Adakah PhD yang dihasilkan oleh UPM ini setaraf dengan universiti utama dunia atau mempunyai taraf berlainan? Jika PhD yang dihasilkan di bawah standard (substandard) universiti ulung dunia dan kaedah penyediaan tesisnya lebih mudah maka bagaimanakah standard ini diakui dunia akademik di luar Malaysia?” soalnya lagi.
Berdasarkan laporan media, selain 398 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), UPM turut menganugerahkan sarjana (1,093 orang), sarjana muda (3,544 orang) dan diploma (660 orang) pada majlis konvokesyen ke-44 yang berlangsung baru baru ini.
Beliau berkata, penganugerahan PhD bukan perkara kecil memandangkan seseorang yang memiliki PhD dianggap layak dan kompeten untuk melakukan kerja-kerja yang sesuai dengan kepakarannya.
Adakah kualiti PhD dikompromi? |
“Saya mendesak Kementerian Pengajian Tinggi agar memantau universiti tempatan yang mengeluarkan begitu banyak graduan PhD dalam setahun dan meneliti kaedah penghasilan PhD mereka, sebelum ranking universiti di Malaysia merosot di peringkat antarabangsa yang tentunya meletakkan kepentingan kepada kualiti penyelidikan,” kata Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi.
0 Comments