Pembangkang tolak usaha adakan PRN johor


PEMIMPIN
tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor bersama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), sepakat menolak sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.

Blok pembangkang itu melalui satu kenyataan menegaskan, pelaksanaan PRN adalah satu tindakan yang tidak munasabah dan tidak mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri.

Bahkan menurut mereka, tiada keperluan mendesak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran kerjasama telah diberikan sepenuhnya terhadap kerajaan pimpinan Hasni Mohammad meskipun dengan perbezaan majoriti hanya satu kerusi.

“Pembangkang (dengan itu) menuntut kerajaan negeri menumpukan sepenuh usaha melawan wabak pandemik Covid-19 lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian Omicron. Nyawa rakyat adalah utama.

“Selain itu, anggaran kos sebanyak RM150 juta diperlukan untuk membiayai PRN Johor. Blok pembangkang percaya bahawa ini hanya akan menjadi satu lagi pembaziran yang sangat besar dari kerajaan.

“Seharusnya, kerajaan dituntut menyalurkan segala sumber yang ada untuk melindungi kebajikan ekonomi rakyat, bukan kepentingan politik parti,” kata kenyataan diketuai Ketua Pembangkang DUN Johor yang juga Pengerusi Amanah negeri itu, Aminolhuda Hassan

Kenyataan tersebut dibuat bersama  Pengerusi KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan wakil parti Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

K'jaan diminta tumpu usaha kekang pendemik
Sementara itu, Aminolhuda memaklumkan, pembangkang juga bersepakat untuk bersama-sama menawarkan komitmen kestabilan bagi memastikan kerajaan negeri dapat terus memberi sepenuh tumpuan terhadap kebajikan rakyat serta usaha-usaha memulihkan ekonomi negeri pada waktu sukar ini.

“Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang mengutamakan rakyat. Atas dasar ini, blok pembangkang sebulat suara menolak sebarang usaha untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” ulas kenyataan bersama tersebut.

Post a Comment

0 Comments