NGO gesa SC dedah hasil siasatan kes Azam Baki kepada umum


SURUHANJAYA SEKURITI  (SC) didesak supaya menjelaskan keputusan “tidak dapat memastikan secara konklusif” berhubung siasatan mereka berhubung isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam Baki.
 
Gesaan itu dibuat beberapa pertubuhan berkaitan reformasi susulan kenyataan ringkas SC setelah mendakwa siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu telah dijalankan mereka.

“Kami mendesak SC mengumumkan secara terbuka penemuan siasatan dan bagaimana mereka mencapai kesimpulan yang tidak pasti

“Ia sekali gus membuktikan pendirian kami dari awal lagi bahawa hanya siasatan penuh dan bebas perlu dilaksanakan, selain mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran mengikut undang-undang dan pekeliling pengisytiharan aset penjawat awam, termasuk mendedahkan sumber dana diperoleh ,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Cynthia Gabriel dipetik laporan FMT.

Sambil menyifatkan negara ini “terjerumus ke lembah kegelapan lebih dalam”, Gabriel turut mencadangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, segera menubuhkan jawatankuasa kerja tertinggi menyiasat isu berkenaan.

Azam, pemimpin tertinggi negara dalam memerangi rasuah, didakwa melakukan pemerolehan saham bernilai jutaan ringgit, termasuk waran dalam syarikat senaraian awam, walaupun had RM100,000 dikenakan bagi penjawat awam untuk memiliki ekuiti dalam syarikat.

Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 saham dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Pada masa itu, Azam adalah ketua Bahagian Siasatan SPRM.

Dia kemudian mendakwa bahawa akaun banknya telah digunakan oleh adiknya, Nasir untuk memperoleh saham dalam kedua-dua syarikat itu pada 2015.

SC jangan tambah rasa curiga orang ramai
Dalam pada itu, Pengerusi Bersih Thomas Fann, berkata SC perlu menjelaskan mengapa siasatan mereka tidak mencapai konklusif.

“SC mesti mengelak daripada menimbulkan rasa curiga orang ramai bahawa tekanan sudah dikenakan ke atas agensi terbabit.

“Susulan dakwaan dikenakan terhadap SC berhubung konflik kepentingan dalam kalangan pegawai tertinggi selepas mereka mengatakan akan menyiasat Azam, orang awam akan mula syak SC sudah berada dalam tekanan untuk menutup kes,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki, yang dijadual akan melakukan demonstrasi di ibu negara, pada Sabtu, menuntut penahanan Ketua SPRM itu, dan mereka akan berterusan melakukan desakan penangkapan segera ke atas Azam.

“Beliau berada di kedudukan yang boleh meletakkan tekanan ke atas sesiapa sahaja yang mempersoalkan dirinya, termasuk terhadap badan penyelia mahupun media.

“Azam sepatutnya ditangkap demi memastikan rakyat kekal mempunyai keyakinan berhubung proses perundangan,” katanya seperti dilapor portal FMT.

Post a Comment

0 Comments