Rogol: Peguam pertahan kenyataan ADUN Bersatu terlibat


PEGUAM
Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol mempertahankan kenyataannya yang mengaitkan ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, dengan kes anak guamnya.

Asheeq dalam pernyataan pembelaan yang dikemukakan kepada Mahkamah Sesyen berhujah beliau membuat kenyataan itu selaku peguam yang membela seorang pengadu.

“Defendan (Asheeq) mempunyai kewajipan undang-undang untuk membuat kenyataan tersebut bagi menuntut keadilan buat anak guam defendan dan membela anak guam defendan,” katanya dipetik laporan FMT berdasarkan pernyataan dikeluarkan.

Asheeq sementara itu turut menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat pada sidang media 11 Ogos 2021 itu berkaitan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada 5 Dis 2020, yang memohon siasatan ke atas kejadian rogol yang didakwa berlaku pada hari yang sama.

“Sehingga tarikh sidang media tersebut dibuat, iaitu selama lapan bulan dari tarikh laporan polis pertama, tidak ada sebarang pertuduhan yang dibuat di mahkamah,” katanya.

Hilman, seorang wakil rakyat Bersatu, memfailkan saman fitnah terhadap Asheeq bulan lepas, kerana mengaitkan beliau dengan kes itu.

Pegawai kanan Mohamed Azmin Ali itu menuntut ganti rugi dan permohonan maaf daripada Asheeq dengan mendakwa peguam itu cuba merosakkan nama baiknya.

Asheeq dalam pernyataannya turut menceritakan kronologi kejadian dalam peristiwa itu.

“Kenyataan tersebut dibuat susulan kegagalan pihak polis untuk membuat pertuduhan di mahkamah terhadap pesalah laku yang merogol anak guam defendan walaupun laporan polis telah dibuat,” katanya.

Terdahulu mangsa pada Mei tahun lalu menyerahkan bukti tambahan kepada polis bagi menyokong dakwaan dibuatnya bahawa Hilman “mengatur” kejadian pada Disember tahun lalu.

Dia yang mendakwa menjadi mangsa rogol sebelumnya berkata,  Hilman menjemputnya ke sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 4 Disember 2020.

Selepas makan malam, wanita itu berkata, bahawa mereka termasuk kenalan rapatnya dan dua rakan wanita berkaraoke di mana dia minum minuman alkohol dan mabuk.
 
Mangsa mengatakan bahawa dia mempunyai ingatan samar tentang apa yang berlaku setelah aktiviti karaoke, tetapi mengatakan bahawa dia merasa Hilman menolongnya untuk berjalan. Ingatan terakhirnya sebelum tak sedarkan diri adalah wajah kenalan Hilman di atasnya.

BACA: Wanita tuduh Hilman 'rancang' insiden rogol

Dia bangun kemudian pada pukul 4 pagi seorang diri dan mendapati dirinya tidak memakai pakaian dan merasa dia telah dirogol.

Asheeq pertahan kenyataan kaitkan Hilman
Dalam laporan keduanya, mangsa berkata dia dimaklumkan oleh salah seorang rakan perempuan yang hadir pada malam kejadian bahawa makan malam dan sesi karaoke itu dikatakan merupakan satu “set-up” (perancangan) Hilman yang juga adalah Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Difahamkan seorang lelaki, Mohd Zulfahimin Mahdzir, telah dituduh atas jenayah itu di Mahkamah Sesyen pada 3 Sept 2021.

Post a Comment

0 Comments