Rakyat mesti lihat isu rasuah secara lebih luas - Anwar


KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia melihat gejala rasuah membelenggu negara ini secara lebih meluas.

Mengulas isu melingkari Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, Anwar yang juga adalah Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata, rakyat tidak harus menumpukan kepada isu pegawai tertinggi SPRM itu sahaja.

Beliau berkata, isu rasuah dalam negara kini semakin membimbangkan. Ia bukan sahaja mengenai kes Azam yang dikaitkan dakwaan pemilikan saham, tetapi isu rasuah lebih besar seperti kertas Pandora, konsesi Spanco Sdn Bhd (Spanco) dan Digital Nasional Berhad (DNB) perlu diberi perhatian.

“Rencana oleh tokoh politik tertentu dan ahli-ahli korporat yang sekongkol begitu mendesak.

“Kita sibuk dengan Azam Baki, mereka sibuk dengan luluskan projek,” katanya dalam satu video di Facebook yang membicarakan isu-isu semasa.

Dalam pada itu, Anwar juga menggesa rakyat melihat masalah rasuah itu sebagai bencana dan jenayah yang akan menyebabkan rakyat terutama golongan miskin terus derita.

Justeru, beliau menggesa suatu gerakan rakyat menyuarakan pandangan mereka berhubung isu rasuah melanda ketika ini.

Ketirisan berlaku di semua peringkat
“Bukan sahaja projek besar. Ketirisan berlaku termasuk dalam projek rakyat biasa. Subsidi minyak pun ada ketirisan. Bantuan rakyat ada ketirisan. Ini disebut Ketua audit Negara tahun demi tahun,” katanya lagi.

Sementara itu ketika mengulas isu Azam, Anwar menegaskan bahawa ia merupakan satu perkara serius kerana membabitkan institusi negara.



Sehubungan itu beliau menggesa Azam berundur sementara bagi membolehkan siasatan bebas berjalan.

“Tak mungkin ada siasatan bebas sekiranya dikendalikan oleh jabatan sama. Semua tahu…saya tidak cadang untuk menghukum tetapi hormati proses. Ini tak berlaku,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments