PSC wajar panggil semua pihak berkaitan isu Azam Baki


JAWATANKUASA
Pilihan Khas Parlimen (PSC) Bagi Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri digesa memanggil semua pihak berkepentingan bagi membincangkan isu pemilikan saham Azam Baki.

Gesaan itu disuarakan kumpulan masyarakat sivil yang berkata tindakan itu boleh membantu mengekalkan keyakinan rakyat terhadap Parlimen sebagai badan semak dan imbang membabitkan cabang eksekutif.

“PSC sepatutnya memanggil semua pihak terbabit dalam isu ini, termasuk Lalitha Kunaratnam yang mendedahkan laporan itu, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan badan kawalselia yang berkuasa menyiasat atau mempunyai kuasa ke atas perkara berkenaan.

“Mereka mampu mengemukakan maklumat dan penjelasan, termasuk mengenal pasti kebenaran dakwaan dikenakan, selain menjawab dakwaan dalam kes itu,” kata mereka dalam kenyataan.

Kenyataan itu ditandatangani Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Institut Pembaharuan Politik dan Demokrasi, ENGAGE, Undi18, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Yayasan Hikmah dan Bait Al-Amanah.

Dalam masa sama mereka turut menuntut agar pendengaran oleh PSC disiarkan secara langsung.

"Sesi pendengaran berkenaan perlu dilakukan secara terbuka termasuk menyiarkan secara langsung dalam saluran rasmi Parlimen, termasuk kerajaan, sekali gus menjadikan rakyat kembali meletakkan keyakinan dalam institusi Parlimen untuk cekap bertindak dan kekal melaksanakan proses semak dan imbang membabitkan eksekutif.

Laporan berkenaan juga perlu dibentangkan di Dewan Rakyat bagi perbahasan, kata kumpulan itu lagi.

PSC dijangka mengadakan pertemuan pada 19 Jan, bertujuan membincangkan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan Azam dijadual dipanggil, bagaimanapun, kehadiran bos SPRM itu sahaja “tidak mencukupi”.

PSC juga wajar panggil pemberi maklumat
Tambah kumpulan itu lagi, isu yang perlu dibangkitkan pada pertemuan PSC itu nanti wajar meliputi sumber dana untuk membeli saham berkenaan, sejauh mana pegangan saham dipegang, sama ada beliau mendapat manfaat hasil pegangan saham itu dan mengenalpasti pegangan saham terbabit diisytihar berdasarkan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Selain itu, PSC wajib mempersoalkan Azam sama ada beliau terbabit dalam membuat keputusan berhubung operasi dalam syarikat yang didakwa beliau memiliki saham.

Post a Comment

0 Comments