ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) menggesa kerajaan menambah satu hari lagi sesi sidang khas Parlimen pada 20 Januari ini untuk membincangkan hal berkaitan integriti SPRM itu di samping agenda utama berkaitan banjir.
Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan juga perlu mengkaji semula undang-undang sedia ada di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berikutan kontroversi membabitkan Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki.
“Kerajaan dan pembangkang perlu cari jalan penyelesaian dan memastikan ada sistem semak dan imbang untuk memastikan institusi SPRM terbela,” tegas Ahli Parlimen Johor Bahru itu.
Akmal berkata demikian selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan hari ini berhubung konvoi ‘Protes Selamatkan SPRM’ disertai 50 kenderaan ke bangunan SPRM Putrajaya, 10 Januari lalu.
Mengulas lanjut berkenaan Akta SPRM 2009, Akmal menegaskan undang-undang di bawah akta berkaitan perlu dikaji dan dipinda memandangkan beberapa jawatankuasa yang sepatutnya berperanan menyelia SPRM seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dilihat gagal.
“Isu integriti yang berlaku di peringkat dalaman SPRM telah melemahkan kedudukan LPPR,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menambah, AMK akan menghantar memorandum kedua iaitu ‘Memorandum Rakyat’ yang akan diserahkan kepada kerajaan sewaktu sesi Parlimen khas pada 20 Januari ini.
AMK akan hantar 'Memorandum Rakyat' |
Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini mendesak Azam dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang disiasat oleh sebuah badan bebas dan kedua-duanya harus direhatkan sementara siasatan berjalan.
0 Comments