SEKUMPULAN Ahli Parlimen menegaskan bahawa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kuasa menyiasat atau “membersihkan” Azam Baki dari sebarang salah laku.
Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata, terma rujukan tidak memberi mandat kepada LPPR menyiasat atau membersihkan mana-mana individu dalam SPRM daripada salah laku.
“Bagaimana boleh lembaga penasihat mempunyai kuasa menyiasat seseorang dan kemudian membersihkan dakwaan salah laku?
“Mereka hanya boleh menasihat. Jadi, bagi mereka mengatakan beliau (Azam) tidak melakukan salah laku adalah tidak tidak betul,” kata mereka.
Azam yang merupakan Ketua Pesuruhjaya SPRM didakwa memiliki dua juta saham dalam syarikat senaraian awam,
Ia kemudian “dibersihkan” daripada sebarang salah laku susulan kenyataan Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang bahawa akaun dagangan Azam digunakan adiknya, Nasir, bagi tujuan pembelian saham.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah yang turut bersama kumpulan itu menegaskan bahawa penjelasan dibuat LPPR behubung isu yang menyelubungi Azam menunjukkan wujud kegagalan dalam mekanisme pengawasan berkenaan.
Mereka menegaskan Azam masih memegang berjuta-juta saham setakat Mac 2016 walaupun sebelum ini Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang memberitahu ia sudah dipindahkan kepada adik ketua pesuruhjaya SPRM itu, Nasir, pada 2015.
"Kami mendapati penjelasan Abu Zahar menimbulkan lebih banyak persoalan daripada menjelaskan sama ada pemilikan Azam terhadap saham dan waran itu adalah kesalahan jenayah dan salah guna kuasa atau tidak.
"Nampaknya terdapat kegagalan institusi dalam mekanisme pengawasan SPRM yang perlu dirujuk kepada pihak atasan termasuk parlimen untuk mencari penyelesaian.
"Kami berasa kecewa kerana LPPR mencapai kesimpulannya hanya berdasarkan satu mesyuarat bersama Azam pada 24 Nov tahun lalu," kata Sivarasa.
Selain Sivarasa dan Syed Ibrahim, turut dalam kumpulan itu adalah Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Akmal Nasir (Johor Bahru).
"Kami bertanya kepada Abu Zahar: Adakah LPPR melihat dokumentasi pergerakan wang ini daripada Nasir ke Azam? Bila ia berlaku? Adakah melalui pindahan wang atau draf bank atau cek?
"Mengapa LPPR tidak berjumpa Nasir untuk mengesahkan transaksi wang tersebut?" kata mereka sambil meminta Abu Zahar menjelaskan mengapa LPPR mengambil masa hampir tiga minggu untuk memberi maklum balas secara terbuka selepas isu itu dibangkitkan di parlimen pada 16 Dis 2021.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Azam dilapor telah memulakan tindakan undang-undang terhadap seorang pemberi maklumat yang paling awal mendedahkan dakwaan pemilikan saham membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM itu.
LPPR tiada kuasa 'bersihkan' Azam |
Pakar Ekonomi, Prof Edmund Terence Gomez yang baru-baru ini meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM pula menyifatkan surat tuntutan itu sebagai tindakan "menakut-nakutkan yang serius".