PAS selalu mahu jadi 'abang besar', kata Nur Jazlan



TIMBALAN
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed membidas PAS dengan mendakwa parti itu mempunyai banyak sejarah buruk dalam menjalinkan kerjasama politik dengan parti lain.

Dipetik laporan Sinar Harian, Nur Jazlan berkata, PAS tidak pernah ikhlas dalam membentuk kerjasama dengan parti lain membuatkan pakatan yang dibina sering tersasar.

Beliau merujuk parti Semangat 46 yang ditubuhkan di awal 90-an yang menurutnya adalah mangsa pertama parti Islam itu.

"Selepas berjaya menubuhkan kerajaan bersama Semangat 46 di Kelantan di bawah Angkatan Perpaduan Ummah, PAS semakin lama semakin besar kepala.

"Pakatan itu hanya mampu kekal sepenggal sahaja apabila PAS didakwa terlalu mahu mendominasi politik dan pentadbiran di Kelantan sehingga mengetepikan Semangat 46.

"PAS selalu mahu jadi 'abang besar' dalam kerjasama politik dan mereka tak pernah ikhlas pun. Sebab itu semua pakatan yang dibuat bersama mereka tak kekal lagi," katanya.

Tambah Nur Jazlan lagi, PAS yang mahu berkuasa di peringkat Pusat mencari lagi pakatan baharu sebelum tertubuhnya Barisan Alternatif (BA) pada tahun 1999, selain Pakatan Rakyat (2008) yang turut melibatkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan DAP.

Biarpun bersama dua parti yang dominan dalam Pakatan Rakyat itu, PAS dakwanya masih mahu menunjukkan kuasanya dan ingin menjadi 'king maker' dalam kedua-dua pakatan politik itu.

"Lama-kelamaan, KEADILAN dan DAP mula bosan dengan perangai PAS yang dilihat mahu mengetuai BA dan PR hingga pakatan itu juga berkubur pada tahun 2015.

"PAS memang suka mengambil kesempatan atas semua kerjasama atau pakatan politik yang disertai mereka.

"Ini kerana matlamat utama mereka bukanlah sebagai membela rakyat tapi lebih kepada gilakan kuasa dan jawatan.

"Natijahnya semua pakatan itu gagal namun Pas tetap menuding jari kepada orang lain atas kegagalan itu," ujarnya dipetik laporan itu.

Mengulas situasi semasa, Nur Jazlan mendakwa PAS menggunakan skrip sama dalam Muafakat Nasional (MN) yang menyaksikan parti itu kini bekerjasama dengan UMNO.

PAS dakwanya cukup licik bermain politik selepas berjaya mendapat habuan jawatan dalam Perikatan Nasional (PN).

Setelah mendapat pelbagai habuan bersama PN katanya, parti itu mengetepikan UMNO dan lebih memberi muka kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semata-mata kerana ingin kekal berkuasa.

"Jadi tak hairanlah MN pun gagal dilaksanakan seperti yang dibincangkan bersama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"PAS apabila dapat kuasa dan jawatan dengan Bersatu serta PN, mereka mula jadi angkuh dan sombong. Mudah lupa diri.

PAS didakwa suka tuding jari pada pihak lain
"Sebab itulah MN ini gagal dan PAS pula salahkan UMNO kononnya menolak agenda perpaduan ummah.

"Saya tak hairan dengan kecurangan pemimpin PAS bertopengkan agama ini yang terbukti berakhir dengan perceraian pakatan politik selama berpuluh tahun ini," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments