Mengapa beri Genting HK pinjaman tanpa jaminan, soal Anwar

 

MENTERI Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dituntut untuk menjelaskan mengapa tiga bank dibenarkan memberi pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat desakan itu susulan media melaporkan bahawa keuntungan tiga bank, iaitu Maybank, CIMB dan RHB Bank Bhd dijangka terjejas berikutan masalah dihadapi pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.

“Menurut laporan media, ketiga-tiga bank tersebut telah memberi pinjaman tanpa jaminan berjumlah USD600 juta (RM2.51 bilion).

“Walaupun syarikat itu berdaftar di Hong Kong, pemiliknya adalah ahli perniagaan Malaysia yang sekurang-kurangnya perlu diminta jaminan peribadi atau simpanannya dalam syarikat yang dimilikinya di Malaysia.

“Saya mendesak Menteri Kewangan untuk segera menjawab persoalan mengapakah bank-bank ini dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong,” kata Anwar dalam kenyataan

Pada 18 Januari lalu, Genting Hong Kong, yang terlibat terutamanya dalam industri kapal persiaran, memfailkan penggulungan perniagaannya selepas syarikat itu tidak dapat membayar hutangnya. Dua hari kemudian, pengerusinya Lim Kok Thay meletak jawatan.

Syarikat itu memiliki tiga laluan utama kapal persiaran (Dream, Star dan Crystal), Resorts World Manila dan beberapa limbungan kapal.

Sementara itu tambah Anwar, kerajaan juga perlu memberi penjelasan bagaimana pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat perjudian itu boleh diberikan dengan sebegitu mudah.

Difahamkan, kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham terbesar dalam ketiga-tiga bank berkenaan.

“Menteri Kewangan juga dituntut menjelaskan bagaimana pinjaman RM2.51 billion ini akan dibayar oleh Genting Hong Kong yang sudah muflis.

Anwar bimbang skandal BMF bakal berulang
"Bagi saya, penjelasan perlu disegerakan bagi mengelak skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) Hong Kong berulang,” kata bekas Menteri Kewangan terbaik Asia itu lagi.

Skandal BMF tercetus pada tahun 1983, juga melibatkan pinjaman besar kepada syarikat yang berpangkalan di Hong Kong.

Kerajaan akhirnya terpaksa menyelamatkan Bank Bumiputra Malaysia Bhd (BBMB) dengan berbilion-bilion ringgit.

Post a Comment

0 Comments