PRESIDEN parti Amanah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu mengkritik tindakan beberapa menteri yang bertindak tidak sepatutnya ketika negara berdepan insiden banjir besar pada Disember lalu.
Katanya seorang menteri perlu berada di bilik gerakan dan memberikan arahan kepada pihak yang berkaitan mengenai bagaimana bantuan dan tindakan perlu diambil dan bukan berada di lapangan bagi mendapat liputan media.
“Bukan pergi berlakon scoop (menyodok) itu, ini. Tu tak perlu.
“Berada di bilik gerakan dan beri arahan kepada pegawai kerajaan, itu (barulah) kerja menteri. Bukan pergi angkut sana sini… ini lakonan.
“Jadi, tinggalkanlah lakonan itu, mari kita memerintah cara betul,” kata bekas Menteri Pertahanan itu semasa berbahas pada sidang khas Parlimen semalam.
Sidang khas itu diadakan antaranya bagi mebincangkan isu banjir selaras dengan peraturan mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Sebelum ini tindakan beberapa pemimpin negara yang didakwa 'berlakon' ketika banjir dikecam rakyat.
Ia antaranya aksi Ismail Sabri seolah-olah membersihkan kotoran dengan penyodok di hadapan sekumpulan jurugambar di Hulu Langat, Selangor.
Aksi lakonan Rina Harun mencuci kaki lima sebuah sekolah dengan ‘waterjet’ semasa banjir juga mengundang sindiran orang ramai.
Sementara itu dalam perbahasannya, Mohamad Sabu memberi pandangan pada tindakan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz yang turun meninjau keadaan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.
Mohamad berpendapat bukan tugas seorang menteri menyelamatkan mangsa banjir sebaliknya melihat keadaan yang ada di lokasi dan membuat perancangan bagi menangani isu tersebut.
“[…] menteri kewangan turun dengan bot yang penuh, saya setuju. Orang komplen sebab menteri kewangan tidak menyelamatkan orang. Bukan itu tugas Menteri Kewangan.
“Dia pergi tengok, balik, buat bajet untuk bantu rakyat. Itu baru betul,” kata Mohamad lagi.
Menteri jangan 'berlakon' lagi, gesa Mat Sabu |
Kedatangan ahli Dewan Negara itu yang sempat mengagihkan bekalan makanan kepada beberapa penduduk yang terjejas dikecam apabila dia diiringi ramai pegawai dan wartawan dalam satu sampan.
0 Comments