KERAJAAN perlu segera menyelesaikan masalah berkaitan caj pembayaran kuarantin hotel yang dihadapi oleh jemaah ibadah umrah, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata begitu melalui hantaran menerusi Facebook beliau yang mengulas perintah pelaksanaan kuarantin wajib jemaah yang tiba di tanah air bermula awal minggu ini.
Tambah Anwar, jemaah tidak sewajarnya terbeban dengan arahan terbaharu itu.
“Mereka dilaporkan diminta untuk menjalani proses kuarantin di hotel-hotel yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Kuarantin di rumah tidak dibenarkan sama sekali.
“Ini tentunya melibatkan kos kuarantin yang tinggi dan membebankan kepada mereka.
“Kerajaan atau kementerian bertanggungjawab mesti cepat dan tuntas dalam menangani isu ini dari terus melarat,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan sekumpulan jemaah umrah menjalani kuarantin di stesen kuarantin ditetapkan Nadma dengan kos kuarantin ditanggung sendiri oleh jemaah.
Pelaksanaan kuarantin wajib itu dilapor telah mengundang kritikan apabila kos pembayaran hotel yang ditetapkan pada masa ini amat tinggi antara RM250 hingga RM300 sehari.
Susulan itu semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad tampil dengan kenyataan bahawa jemaah umrah mempunyai pilihan sama dikuarantin di stesen kuarantin swasta atau stesen kuarantin yang diuruskan kerajaan.
Katanya, bagi petempatan kuarantin yang diurus kerajaan, individu dalam pemantauan (PUS) yang didapati negatif akan ditempatkan di hotel atau pusat latihan awam bergantung kepada kesediaan bilik dan kos ditanggung kerajaan.
Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, individu yang pulang selepas menunaikan umrah wajib memakai gelang pengesan digital dan menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari.
Ia berikutan terdapat 30 daripada 49 varian baharu, Omicron di Malaysia yang dikesan antara 23 dan 24 Disember lalu adalah kes import dari Arab Saudi.
Khairy kemudian mengumumkan penagguhan sementara ibadat itu selepas 8 Januari ini yang kemudian turut dikritik kerana bakal menyebabkan pengusaha pakej Umrah berdepan kerugian besar.
Selain itu kuarantin, turut tular satu rakaman video diLapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang memaparkan beberapa jemaah umrah melahirkan rasa tidak puas hati dengan proses pemakaian jam peranti.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan pengembara yang pulang dari Arab Saudi diwajibkan untuk memakai peranti digital berbentuk seperti jam tangan berikutan dengan kes Covid-19 varian Omicron yang banyak dikesan dari individu yang baru pulang dari negara tersebut.
K'jaan mesti tuntas cari penyelesaiaan |
“Sampai pukul 5 petang. Pukul 9.50 malam baru selesai semua urusan dekat airport, swab test dan pakai jam tracker. Lapan jam dalam flight sambung lagi lima jam menunggu dalam bilik itu dan ya tanpa makanan,” tulis seorang pengguna Facebook dengan nama pengguna Fa Ell dipetik laporan media.
0 Comments