AHLI Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mahu kerajaan mempertimbangkan semula keputusan penagguhan sementara kebenaran perjalanan ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari ini.
Khalid berkata, keputusan penagguhan itu akan menyebabkan banyak pengusaha pakej umrah akan berdepan kerugian jutaan ringgit berikutan tempahan hotel, penerbangan dan segala perkhidmatan di Mekah dan Madinah telahpun dibuat beberapa bulan lebih awal.
Tambahnya, beliau menerima banyak rungutan dari pengusaha susulan keputusan kerajaan itu.
Keputusan kerajaan Ismail Sabri itu menurutnya dibuat tanpa perbincangan menyeluruh dengan pengusaha pakej umrah jelas memperlihatkan ianya dilakukan secara terburu-buru.
“Lebih mendukacitakan lagi adalah kenyataan acuh tak acuh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad yang berkata kerajaan tidak mampu menyediakan fasiliti untuk memuatkan 1,000 orang sehari yang perlu dikuarantin untuk mengawal jangkitan Covid-19 ini.
“Sikap lepas tangan sebegini amat tidak wajar oleh seorang Menteri sedangkan pengusaha umrah mengharapkan menteri agama membela kepentingan mereka dalam soal ini.
“Kalau menteri agama pun lepas tangan, siapa lagi yang boleh pengusaha umrah mengharapkan untuk membela nasib mereka?,” soalnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, kerajaan melalui Khairy Jamaluddin memutuskan untuk menangguhkan sementara bagi kebenaran perjalanan ibadah umrah sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Langkah itu kata Khairy diambil susulan penularan varian Omicron Covid-19.
Bagaimanapun menurut Khalid, menghentikan perjalanan ibadah umrah secara mengejut dengan memberikan notis tempoh seminggu sahaja kebenaran menunaikan umrah adalah keputusan yang tidak wajar sedangkan masih ada pilihan-pilihan lain yang boleh diusahakan.
Jelasnya, kerajaan boleh mengambil pendekatan mengetatkan SOP untuk perjalanan menunaikan umrah sama ada sebelum balik dari Arab Saudi atau semasa sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Keputusan mengejut jejas pengusaha pakej umrah |
Pada masa sama katanya, kerajaan juga boleh menggunakan hotel-hotel yang kerugian besar akibat Covid-19 untuk menghidupkan kembali perniagaan mereka dengan dijadikan sebagai pusat kurantin untuk jemaah umrah.
0 Comments