Insiden banjir bukti Ismail tak layak pimpin negara - Halimey


KENYATAAN Ismail Sabri Yaakob bahawa beberapa wakil rakyat pembangkang ‘hilang’ ketika bencana banjir melanda beberapa negeri pada 17 Disember lalu boleh diibaratkan seperti meludah ke langit.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor Halimey Abu Bakar berkata begitu sebagai mengulas tindakan perdana menteri itu yang menurutnya sibuk memotong kek ketika rakyat sedang menyabung nyawa dan merayu minta diselamatkan  dalam tragedi banjir besar yang melanda beberapa negeri khususnya negeri Selangor bulan lalu.

“Apakah penipuan yang cuba dilakukan Ismail Sabri dengan memberitahu Dewan Rakyat, bahawa beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda untuk membantu mangsa banjir dan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tidak kelihatan?

“Adakah semata-mata hadir berbaju melayu dan berada di bilik selesa berpenghawa dingin untuk mendengar taklimat boleh dianggap membantu?" kata beliau.

Halimey turut membandingkang tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun seawal pagi 18 Disember bagi meninjau kejadian banjir di Selangor, sedangkan kelibat Ismail menurutnya hanya dilihat pada 19 Disember.

“Itupun setelah mengumumkan kehadirannya kepada media sehari sebelum melakukan lawatan di sekitar kawasan klang berdasarkan sebaran melalui aplikasi WhatsApp.

Sebagai rekod sehari sebelum insiden banjir di Selangor, Anwar turut meninjau keadaan banjir di Port Dickson. Tinjauan itu bagi mencari punca dan penyelesaian bagi masalah banjir di kawasan diwakilinya itu.

Semetara itu Halimey turut membidas kenyataan Ismail yang mendakwa tidak nampak Ahli Parlimen Pembangkang dan ADUN Kerajaan negeri Selangor pada waktu malam ketika banjir melanda.

“Bagaimana mungkin beliau nampak kerana beliau hanya turun melakukan gimik membersihkan kawasan yang terkesan setelah banjir surut berbanding Ahli Parlimen Pembangkang dan ADUN Kerajaan Negeri Selangor yang berada sejak dari awal bersama penduduk.

“Itu belum lagi perangai jelik Menteri dan ahli parlimen kerajaan yang sibuk ke majlis makan malam perhimpunan UMNO ketika banjir melanda,” katanya.

Isu banjir di Selangor menarik perhatian ramai, antaranya susulan kelewatan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri bertindak dalam insiden itu.

"Menteri Besar Selangor saudara Amirudin Shari katanya turun sejak awal meredah banjir bagi menyelamatkan penduduk yang terperangkap walaupun dengan kelengkapan yang terhad akibat bantuan yang dijanjikan dari kerajaan pusat tidak kunjung tiba.

"Beliau menunjukkan tauladan yang baik selaku seorang pemimpin utama negeri. Berbeza pula dengan Menteri dan Ahli Parlimen kerajaan yang boleh keluar negara walaupun setelah banjir melanda dan hanya turun sekadar melalukan gimik bodoh mencuci najis cicak dan burung seperti dilakukan Rina Harun.

Ismail didakwa turun padang untuk 'gimik'
“Mengapa aset kerajaan pusat yang bernilai berbilion ringgit tidak digerakkan sejak dari awal banjir melanda melanda negeri Selangor? Adakah beliau lupa bahawa saudara Noh Omar merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Selangor sejak November 2021?

“Ini mungkin boleh menjawab persoalan kenapa koordinasi bantuan antara Persekutuan dan Negeri terlalu teruk sehingga ada rakyat yang mati menunggu bantuan yang tak kunjung tiba. Mungkin masih sibuk dengan Persidangan UMNO?” soal beliau sambil menegaskan insiden banjir itu jelas menunjukkan Ismail tidak layak memimpin negara.