Saifuddin dakwa GPS langgar peraturan pilihan raya


SETIAUSAHA
Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggunakan dewan pengundian bagi tujuan kempen parti pemerintah negeri itu.

Dipetik laporan Malaysiakini, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata,  dewan serbaguna Long Latei di DUN Telang Usan dipenuhi poster calon dan bendera GPS dan berlangsungnya program agensi kerajaan negeri.

"Hari ini, saya melihat satu lagi kejanggalan di Dewan Long Latei mendapati sedang berlangsung satu program kerajaan negeri Sarawak.

"Dewan komuniti Long Latei ini adalah di mana tempat akan berlangsungnya proses pengundian pada 18 Nov nanti. SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan menggunakan dewan ini untuk proses pada hari mengundi.

"Tapi, kita boleh lihat dewan ini dipenuhi poster calon dan bendera GPS yang terang-terang sebenarnya menyalahi peraturan dan undang-undang pilihan raya," dakwanya.

Difahamkan program dijalankan adalah di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak yang berlindung di sebalik apa yang disebut sebagai program kajian masyarakat Penan.

Ia menurut Saifuddin turut melibatkan pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Susulan itu beliau mahu SPR mengambil tindakan tegas termasuk kepada agensi dan jabatan kerajaan negeri yang berkempen untuk parti politik.

"Tempoh kempen 12 hari ketika ini, berlaku penglibatan jabatan dan agensi kerajaan berlindung di sebalik kerajaan sebenarnya sedang menjalankan kempen untuk GPS.

"Adalah salah bagi agensi kerajaan menyertai dalam kempen PRN ini.

"Pendedahan ini saya buat untuk mendesak pihak yang bertanggungjawab khususnya jawatankuasa pemantauan di bawah SPR yang terdiri daripada pelbagai agensi bagi melakukan tindakan segera kerana ini adalah jelas pelanggaran terhadap pelbagai peraturan dan undang-undang pilihan raya," tambahnya lagi.

Saifuddin gesa SPR ambil tindakan
Kerusi DUN Telang Usan akan menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan penyandang Dennis Ngau (GPS-PBB) berdepan Philip Jau Ding (KEADILAN), Gia Bala (PBK) dan Jau Jok@ Jenggo (PSB).

Pada 2016 Ngau memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 167 undi.

SPR menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Dis.