ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi menyifatkan jumlah kompaun dikenakan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap penganjur satu program kerajaan sebagai "jenaka terhebat tahun ini".
Merujuk penganjur program 100 Hari Keluarga Malaysia yang menarik perhatian ramai susulan keadaan yang sesak dengan kegagalan pelaksanaan SOP baru-baru ini, bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor itu mempersoalkan apakah kerajaan mengamalkan dwistandard.
“Adakah kerajaan menganggap rakyat bodoh?
"Mengapa kompaun itu begitu ringan dan tidak munasabah berbanding kompaun yang dikenakan kepada penganjur program politik semasa pilihan raya Melaka?" soalnya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengarah Operasi Muda, Dr Mathen Nair berkata kompaun RM1,000 yang dikeluarkan kerajaan kepada penganjur acara kerajaan adalah jelas menunjukkan dwi standard.
Ini katanya, menunjukkan contoh buruk kepada orang ramai dalam mematuhi SOP pencegahan Covid-19.
"Ini menjadi salah satu halangan terbesar bagi pematuhan SOP sejak permulaan wabak - dwi standard mengenai pematuhan dan kedaulatan undang-undang.
"Pemimpin gagal untuk memimpin melalui teladan. Ramai yang tidak dihukum atau diberi kompaun kecil berbanding rakyat biasa," kata Mathe seperti dilapor Malaysiakini.
Sebagai rekod, sembilan kompaun berjumlah RM120,000 dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dikeluarkan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka lalu.
difahamkan Kompaun di bawah Akta 342 dinaikkan berikutan pelaksanaan ordinan darurat ketika itu, yang hanya dimansuhkan sepenuhnya pada 8 Dis.
Justeru, apabila Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob melancarkan program 100 Hari Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis lalu (9 Dis), denda maksimum di bawah Akta 342 dikembalikan kepada RM1,000.
Bagaimanapun, pengkritik di media sosial membandingkan acara itu - yang sesak dengan kehadiran orang ramai - dengan acara berasingan di bandar yang sama pada hari yang sama.
Lewat malam Khamis lalu, polis Kuala Lumpur dilapor menjalankan serbuan di sebuah pusat hiburan dan mengeluarkan kompaun berjumlah RM220,000 kepada 44 pengunjung dengan purata RM5,000 setiap seorang. Pemiliknya turut dikenakan kompaun bernilai RM25,000.
Ketua jabatan pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti Kuala Lumpur, Azman Ayob dilapor portal The Vibes sebagai berkata kompaun itu juga dikeluarkan di bawah Akta 342.
Tidak jelas sama ada pelanggan dan pemilik dikompaun atas pelbagai kesalahan atau mengikut had yang dinaikkan mengikut ordinan darurat - yang dimansuhkan sehari sebelumnya.
Bagaimanapun, ia menimbulkan persoalan sama ada penganjur program yang dihadiri perdana menteri sepatutnya dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan atau lebih ramai individu sepatutnya didenda.
Ismail sepatutnya bertindak keluar dari program |
"Sekiranya dia serius dengan pematuhan SOP, dia sepatutnya keluar dari acara dan tak menyokong acara itu sebaik sahaja dia sendiri melihat pelanggaran itu," katanya dipetik.
0 Comments