Warganet berang penyokong politik berkumpul tunggu keputusan


TINDAKAN penyokong sebuah parti bersesak dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal bagi menunggu keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam dikritik orang ramai.

Dipetik laporan portal Kosmo, warganet menyatakan kemarahan mereka terhadap tindakan kumpulan itu susulan kebimbangan tindakan itu akan mencetus peningkatan semula kes berkaitan Covid-19.
 
Orang ramai yang menyaksikan siaran keputusan PRK itu yang disiarkan secara langsung di media sosial turut meninggalkan komen-komen mereka yang marah dengan apa yang berlaku.

“Mana pematuhan SOP? sesak-sesak tak ada penjarakan langsung, Hidup Covid-19, “ ujar @Angkol Pasola

“Polis mana, tak saman pun orang ramai sesak macam ini,” komen @Shahrul Nizam pula.

“Alahai, jangan jadi macam PRN Sabah, kes meningkat sebab tak patuh SOP,” kata @Kimmy dipetik laporan portal itu.

Tidak dapat dipastikan dengan jelas penyokong mana yang bersesak di hotel berkenaan.

Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini dikritik kerana mengeluarkan SOP yang dianggap terlalu ketat sepanjang kempen pilihan raya Melaka.

Ia menyaksikan tiada kempen secara bersemuka boleh dilakukan seperti kempen-kempen sebelum ini.

Tangkapan layar dari portal Kosmo


Melaka mengadakan pilihan raya selepas empat bekas ADUN yang berada dalam kerajaan mengumumkan untuk menarik semula sokongan mereka kepada Ketua Menteri.


Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini mengkritik keputusan pembubaran DUN bagai membolehkan PRN diadakan ketika pendemik Covid-19 masih dalam keadaan membimbangkan.