Jabatan Kesihatan siasat insiden pengundi positif


SEORANG pengundi pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram di kawasan Parlimen Masjid Tanah dikesan positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sejurus keputusan ujian di makmal swasta dikeluarkan pada Sabtu.

“Pada 20 November 2021, Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah telah menerima notifikasi dari COVID-19 Assessment Centre (CAC) Melekek, terdapat seorang kes positif COVID-19 yang telah keluar mengundi di salah sebuah pusat mengundi di daerah Alor Gajah.

“Keputusan ujian bagi pesakit ini diterima dari makmal swasta setelah beliau selesai proses mengundi,” jelas Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi bin Abd Rahman dalam kenyataan.

Individu terbabit tidak menunjukkan sebarang gejala ketika mengundi.

Susulan itu kata Rusdi, tindakan segera telah diambil bagi memastikan tiada penularan wabak itu berlaku di pusat mengundi berkenaan.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah telah mengambil tindakan dengan mengarahkan menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi untuk proses disinfeksi menyeluruh.

“Disinfeksi ini telah dijalankan dengan kerjasama pihak bomba. Pihak SPR telah mengambil langkah segera membuka bilik baharu sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan yang baharu,” katanya lagi.

Beliau turut memberitahu, pasukan pemantauan PKD Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi berkenaan untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur.

Dr Rusdi sementara itu berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

Orang ramai digesa rujuk kenyataan rasmi


“Sehubungan itu, saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataaan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKN Melaka,” kata Dr Rusdi  sambil menegaskan semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat oleh Bilik Gerakan PKD Alor Gajah.


Orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel cprcmelaka@moh.gov.my untuk maklumat lanjut.

Post a Comment

0 Comments