Tak wajar salahkan Anwar lepas HARAPAN kalah di Melaka


TINDAKAN
menyalahkan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kekalahan gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka adalah tidak wajar.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin walaupun mana-mana individu bebas mengkritik Anwar atau pemimpin HARAPAN, namun beliau tidak bersetuju jika Anwar disalahkan.

"Saya menerima agak lumayan mesej yang semacam meminta saya bersetuju dengan mereka untuk menyalahkan Anwar kerana kekalahan yang agak menyakitkan ke atas HARAPAN.

"Secara jujur, bagi saya, sesiapa pun berhak mengkritik hatta sepedas mana pun ke atas para pimpinan termasuk Anwar akibat kekalahan tersebut.

"Namun, jika anda tanya pendapat saya, adakah Anwar wajar disalahkan dan diminta berundur dari memimpin HARAPAN, maaf, saya tidak mampu untuk bersetuju dengan anda, sekurang kurangnya untuk masa kini," katanya dalam catatan di Facebook.

Susulan kegagalan HARAPAN mengambil alih semula pentadbiran negeri Melaka, Anwar dilihat cuba dipersalahkan.

Pada PRN Melaka yang berakhir Sabtu lalu, HARAPAN tewas kepada BN yang berjaya meraih majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan KEADILAN menerima tamparan paling hebat apabila tewas kesemua kerusi ditandinginya.
 
DAP pula hanya mengekalkan kemenangan di empat daripada lapan kerusi manakala Amanah menang satu daripada dua kerusi yang ditandinginya.

Pengkritik antara lain mendakwa keputusan Anwar mewajarkan tindakan mengambil 'katak politik' daripada Umno dan Bersatu dengan alasan untuk mengembalikan mandat rakyat, sebagai antara punca kekalahan tersebut.
 
ADUN Bilut dari DAP, Lee Chin Chen melalui hantaran Facebooknya antara individu yang cuba meletak beban kekalahan itu di bahu Anwar dengan menggesa Ketua Pembangkang itu berundur.

Dia mengaitkan kekalahan HARAPAN dengan penerimaan gabungan itu terhadap beberapa individu yang terbabit menjatuhkan kerajaan negeri sehingga membawa kepada PRN baru-baru ini.

Walau bagaimanapun tegas Hanipa, keputusan HARAPAN dibuat secara kolektif dan tidak wajar Anwar seorang dipersalahkan.

"Setahu saya, HARAPAN sentiasa dipandu atas keputusan kolektif. Maka menyalahkan hanya seorang individu sahaja sedangkan sebarang keputusan HARAPAN bukan bersifat keputusan tunggal sebaliknya, ia adalah keputusan kolektif, bagi saya, maaf cakap, adalah tidak adil (menyalahkan Anwar).

"Saya, secara peribadi, masih merasakan HARAPAN masih perlukan khidmat Anwar bersama kepimpinan PH yang sedia ada," katanya tegas.

Cuba salahkan Anwar tindakan tak produktif
Selain Hanipa, pemimpin HARAPAN yang turut menolak cubaan menyalahkan Anwar atas kegagalan itu adalah pemimpin senior dari DAP sendiri.

"Terdapat banyak pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri Melaka yang berlangsung Sabtu lepas. Tetapi, cubaan untuk meletakkan semua kesalahan ke atas mana-mana individu, dalam kes ini, pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) Anwar Ibrahim, adalah satu cubaan yang tidak produktif," kata Lim Kit Siang.

Post a Comment

0 Comments