Mahfuz jangka bakal berlaku krisis dalam PAS

AHLI PARLIMEN Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menjangkakan bakal berlaku krisis di dalam parti PAS susulan tindakan parti itu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mahfuz dipetik laporan Awani menjangkakan perkara itu selepas kebanyakan ahli dan akar umbi PAS telah dipasakkan sejak sekian lama bahawa lambang yang mewakili parti itu adalah lambang 'bulan.

"Saya percaya bahawa (keputusan PAS gunakan logo PN) ini akan (menyebabkan) berlaku krisis dalam PAS, pengundi PAS (sebenarnya) telah dipasak dalam otak mereka bahawa (apabila) mengundi (perlu) lambang PAS, itu telah dipasak. Maknanya, dianggap lambang itu lambang keramat.

"(Jadi saya anggap) akan ada sedikit krisis dalam mereka, tetapi (bagi PRN Melaka), kita tidak bergantung kepada krisis mereka," kata Mahfuz dipetik.

Naib Presiden parti Amanah itu ketika mengulas isu kerjasama PAS dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) turut berpandangan bahawa parti itu tidak lagi berminat untuk bersama Umno.

"PAS sebenarnya (saya sifatkan) sudah nusyuz kepada UMNO. Dulu dia setia, saya anggap dia nusyuz, sebab itu dia tak nak lagi bersama dengan UMNO," katanya.

Selasa lalu, Presiden PAS,  Abdul Hadi Awang, menyatakan bahawa menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Parti itu telah meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka.

Jelasnya menerusi satu kenyataan, ketetapan itu mengambil kira panduan yang diberikan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS yang bersidang 31 Oktober lalu selaras dengan Peruntukan Fasal 84 Perlembagaan parti itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov, penamaan calon pada 8 Nov manakala undi awal pada 16 Nov ini.

Apakah keputusan PAS akan cetus krisis?
Ia diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Selain disertai Bersatu dan PAS, PN juga dianggotai parti Gerakan, STAR Sabah dan SAPP.

Gabungan itu diasaskan pada Febuari 2020 susulan langkah Sheraton dan hanya didaftarkan Ogos tahun yang sama.
 

Post a Comment

0 Comments