KEHADIRAN bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dalam kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) dianggap sebagai satu 'endorsement' kepada gabungan itu.
Presiden parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata, kehadiran Mohd Khalil di Balai Nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi hari ini memberi impak baik kepada gabungan itu dan calon HARAPAN, Julasapiyah Kassim yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Tambahnya, sokongan ditunjukkan Mohd Khalil secara tidak langsung membuka jalan kepada HARAPAN dan Adly Zahari untuk kembali menerajui kerajaan negeri Melaka.
"Kesudian Tun Khalil untuk bersama dengan saya dan calon HARAPAN, Julasapiyah Kassim, menyantuni para nelayan di Balai Nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi petang ini amat menyentuh perasaan.
"Bagi saya secara peribadi, kehadiran tokoh yang amat dihormati oleh rakyat Melaka ini, merupakan suatu yang positif ," tulis Mohamad dalam perkongsian di Facebooknya hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap PRN Melaka yang melibatkan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 November ini akan dimenangi semula gabungan itu.
“Kita doakan Pakatan Harapan akan memenangi PRN Melaka dan Sdr Adly kembali menjadi Ketua Menteri. Insya Allah,” ujarnya lagi.Lonjakan moral untuk Pakatan Harapan
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan susulan empat wakil rakyat diketuai bekas ketua menteri Idris Haron menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.
Rakyat Melaka akan menunaikan tanggungjawab bagi memilih kerajaan Melaka yang baru pada 20 Nov ini.
0 Comments