8 Disember, doktor kontrak mahu hartal lagi


KUMPULAN doktor kontrak sekali lagi akan mengadakan demonstrasi bagi mendesak supaya kerajaan menyelesaikan segera isu dikemuka mereka.

Setelah mengadakan hartal pada Julai lalu, lebih 5,000 doktor kontrak akan memulakan siri kedua hartal di seluruh negara secara serentak pada 8 Dis ini.

Jurucakap Gerakan Hartal Kontrak, Dr Muhd Yassin berkata, tindakan itu bukan perhimpunan untuk menentang kerajaan mahupun gerakan politik, sebaliknya bertujuan mendapatkan keadilan untuk doktor kontrak yang isu dihadapi mereka belum diselesaikan seperti dituntut.

Hartal yang bakal dijalankan secara aman itu akan dilakukan ketika waktu rehat doktor kontrak kira-kira 12 tengah hari dan akan berlangsung selama satu jam, sebelum pihak terbabit menyambung tugasan seperti biasa.

“Perhimpunan secara aman ini akan dilakukan secara serentak di seluruh negara di hospital-hospital yang terdapat doktor kontrak.

“Kita hanya ingin meluahkan ketidakpuasan hati dan akan mengutamakan kepentingan pesakit terlebih dahulu selain memastikan ia tidak menjejaskan tugasan di hospital.

“Perhimpunan berkenaan dijangka dilakukan di kawasan parkir, hadapan wad dan lobi hospital. Kita juga akan memastikan peserta menjaga SOP dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal,” katanya dipetik laporan media.

Harta kali ini turut dijangka akan menyaksikan berlaku peletakan jawatan doktor kontrak bermula pada tarikh berkenaan, yang disifatkan sebagai langkah “renjatan” kepada kerajaan.

Ramai doktor kontrak bakal  letak jawatan
“Kita juga menjangkakan ramai doktor kontrak akan meletakkan jawatan selepas 8 Dis ini, namun angkanya masih belum diketahui,” kata Muhd.

Antara isu dibangkitkan kumpulan itu sebelum ini adalah melibatkan perjawatan tetap doktor kontrak, hak sama rata dengan doktor tetap dan penjelasan jangka masa panjang berhubung status doktor kontrak.
 


Post a Comment

0 Comments