Kenyataan agamawan mesti disemak supaya rakyat tak terkeliru - Mahfuz

AHLI PARLIMEN Pokok Sena Mahfuz Omar mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  membuat semakan serta kawalan berhubung apa-apa pandangan dibuat  golongan agamawan di negara ini.

Wakil rakyat dari Amanah itu membuat gesaan berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam berikutan terlalu banyak pandangan dan pendapat mengelirukan dikeluarkan golongan terbabit.

“Saya minta pihak JAKIM ini dapat menyemak, dapat membuat kawalan terhadap berbagai pendapat berkaitan keagamaan dikeluarkan golongan agamawan yang akhirnya kadang-kadang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang awam. Yang manakah pendapat perlu diguna pakai kerana semua pendapat itu bersandarkan kepada isu Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat semalam.

Mahfuz turut merujuk pandangan berkaitan pandangan dalam isu melantik seseorang wanita untuk menjadi pemimpin negeri.

"Dulu, (kata) tak boleh wanita jadi menteri besar Selangor. Sekarang, Melaka boleh pula lantik (calon) ketua menteri dari kalangan wanita," katanya.

Untuk rekod, pada 2014, PAS berkeras menolak menyokong Presiden KEADILAN ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjadi menteri besar Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun ia berbeza dalam PRN Melaka baru-baru ini apabila Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Mas Ermieyati yang merupakan ahli parlimen Masjid Tanah sebagai ketua menteri Melaka yang baru sekiranya gabungan itu memenangni PRN Melaka.

Nama baik Islam mesti dijaga dari tercemar
Sementara itu tegas Mahfuz , saranan supaya pandangan golongan itu disemak dan dikawal adalah bagi mengelak nama baik Islam terus tercemar sekali gus mengakibatkan golongan agamawan tidak lagi dihormati.

"Saya minta dikawalkan pendapat-pendapat ini supaya dia jangan mencemarkan nama baik Islam yang akhirnya orang tidak memandang hormat kepada golongan agamawan ini," katanya.

Post a Comment

0 Comments