SEORANG pemimpin pembangkang, mempersoalkan mengapa Datuk Seri Najib Razak dipulangkan pasport antarabangsanya buat sementara bagi membolehkan dia menemani anak perempuannya yang bakal bersalin awal bulan depan.
Lim Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri melalui satu kenyataan mempersoal hak itu memandangkan Najib sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan rasuah.
Veteran politik itu ketika mempersoal hal itu turut membandingkan larangan dikenakan terhadap seorang wakil rakyat DAP yang dilarabf berlepas ke Yogyakarta, Indonesia pada 2015, walaupun pasportnya sah sehingga 2020.
“Mengapa pasport MP Tony Pua disita dan dia dilarang melakukan perjalanan ke luar negeri, sedangkan Najib dibenarkan pergi ke luar negara walaupun dia disabitkan kesalahan?" soalnya.
Pada 22 Julai 2015, Tony Pua yang kini Ahli Parlimen Damansara dilarang berlepas ke Yogjakarta selepas Ketua Polis Negara ketika itu, Khalid Abu Bakar memberitahu Ketua Pengarah Imigresen, melalui surat bertarikh 15 Julai 2015, bahawa ahli politik DAP itu disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas tuduhan terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Larangan perjalanan juga dikenakan ke atas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan kartunis politik, Zulkiflee Anuar Ul Haque, yang lebih dikenali sebagai Zunar.
Sementara itu dalam kenyataan sama Kit Siang turut mengulangi gesaan Pusat Melawan Rasuah dan Kronisme (C4) yang menuntut penjelasan mengenai mengapa Pejabat Peguam Negara tidak membantah permohonan daripada bekas Perdana Menteri itu.
Sebagai rekod, Najib sebelum ini didapati dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Rayuan Ahli Parlimen Pekan itu berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd itu selesai Mei lalu dan keputusannya akan didengar pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Kit Siang mahu jaminan Najib tak lari |
“C4 telah membangkitkan persoalan berkepentingan awam yang perlu dijawab oleh Peguam Negara sendiri jika beliau berpegang dan percaya kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta prinsip-prinsip tadbir urus yang baik mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya dipetik.