KABINET yang dijadualkan bermesyuarat hari ini diharap dapat melihat kembali keputusan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka yang disifatkan ramai sebagai tergesa-gesa.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, pihaknya menolak supaya pilihan raya negeri (PRN) diadakan kerana ia membahayakan kesihatan rakyat dan dalam masa sama turut tidak bersetuju dengan cadangan agar darurat dikuatkuasakan di negeri itu.
“Kita tahu keadaan sekarang ini, amat tidak sesuai untuk mengadakan PRN dan KEADILAN telah katakan dengan tegas, dari segi prinsip kita tidak setuju dengan PRN,” kata Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.
Sementara itu Shamsul ketika bercakap kepada media menyifatkan saranan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya dibuat darurat sebagai cadangan separuh masak.
Pelaksanaanya ketika negeri itu dalam usaha pulih dari pendemik Covid-19 tegas Shamsul hanya akan menyukarkan penduduk di negeri berkenaan.
“Kita tahu darurat ini tentu akan beri kesukaran kepada rakyat Melaka sekarang ini (lebih-lebih lagi) kerana apabila pembubaran (DUN) itu berlaku, tidak ada lagi kerajaan, tidak ada lagi wakil rakyat.
“…Yang ada hanyalah Ketua Menteri Caretaker (Datuk Seri Sulaiman Md Ali)… dan Belanjawan Negeri pun belum dibentangkan lagi,” jelasnya
Sementara itu Shamsul turut menegaskan terdapat beberapa peristiwa pertukaran Menteri Besar seperti yang berlaku di Perak dan Kedah, serta pertukaran Perdana Menteri, yang tidak memerlukan pembubaran DUN atau Parlimen, sehingga menyebabkan pilihan raya.
Media sebelum ini melaporkan perbalahan dalaman di kalangan pemimpin Umno Melaka menjadi sebab kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali dan pembubaran DUN.
Sumber yang dipetik laporan portal FMT berkata, “permusuhan” itu melibatkan ahli parti
yang menyokong Sulaiman sebagai Ketua Menteri dan golongan yang mahukan
Idris Haron kembali menerajui Melaka sepertimana sebelum PRU14.
Kabinet disaran kaji keputusan bubar DUN |
Mengikut Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.