Terima MoU tanda pemimpin pembangkang berjiwa besar


PENGANALISIS
politik menyarankan pemimpin pembangkang mengikut langkah Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mematerai perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan persekutuan.


Menurut mereka, perjanjian itu  dapat mewujudkan ekosistem politik yang dinamik di saat negara masih bergelut dengan wabak Covid-19 serta mengukuhkan usaha pembaharuan yang dicetuskan MOU tersebut.
 
Persetujuan menandatangani MoU itu juga bukan bermakna pimpinan pembangkang perlu tunduk kepada kerajaan, malah mempamerkan kematangan dan jiwa besar dalam kalangan pimpinan pembangkang dengan mengenepikan soal politik buat sementara, kata Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali.

"Persefahaman ini untuk rakyat dan negara dan semua pihak (kerajaan dan pembangkang) perlu berkorban dan mengetepikan kepentingan masing-masing.
 
"Hal ini penting untuk memastikan kerajaan dapat fokus usaha memulihkan negara tanpa ada gangguan politik yang boleh menjejaskan situasi.

"Saya melihat ada keperluan parti pembangkang lain seperti Pejuang, Warisan dan Muda untuk menyertai MOU ini. Ini demi melihat suatu konsensus boleh dicapai, yang akan membolehkan reformasi terhadap institusi Parlimen dan pemerintahan dilaksanakan," katanya dipetik Malaysiakini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa parti pembangkang dilihat keberatan menerima MoU itu yang kerajaan menjanjikan sejumlah reformasi dalam jangka waktu tertentu.

Sebagai balasannya, PH berjanji tidak akan menggunakan undi mereka menggulingkan Ismail Sabri atau menyekat Belanjawan 2022 selagi pembaharuan yang dijanjikan mengikut jadual dan mereka akan dilibatkan dalam perbincangan mengenai Rang Undang-Undang Belanjawan.

Sementara itu bagi Prof Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, langkah itu bergantung kepada mekanisme, pendapat dan pendirian parti masing-masing.
 
MoU tak bermakna pembangkang tunduk
Pada masa sama, pensyarah Universiti Malaya itu berkata sebarang keputusan oleh parti pembangkang lain berhubung perkara itu boleh mempengaruhi sokongan orang ramai pada masa akan datang.

"MOU bukan sahaja membolehkan reformasi institusi dapat dilaksanakan yang merupakan antara manifesto HARAPAN terdahulu, ia juga membolehkan wakil rakyat parti yang menandatanganinya mendapat peruntukan sama rata untuk memberikan perkhidmatan kepada pengundi di kawasan mereka," katanya.

Terdahulu, pemimpin DAP Lim Kit Siang turut mengajak Pejuang, Warisan dan Muda menyokong dan menandatangani MOU berkenaan.

 



Post a Comment

0 Comments