Takiyuddin sekali lagi didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat


DATUK SERI
Anwar Ibrahim mendakwa penjelasan dibuat Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan berhubung bencana kepala air di Gunung Jerai dalam Dewan Rakyat pada Isnin lalu sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Melalui satu kenyataan, Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, beliau telah meneliti jawapan oleh Ahli Parlimen Pas Kota Bharu itu ketika menjawab soalannya mengenai aktiviti pembalakan di Dewan Rakyat semalam.

“Setelah mendengar hujahan beliau, perlu dijelaskan bahawa kawasan Gunung Jerai tidak berada dalam HSK (Hutan Simpan Kekal) Ulu Muda.

"Justeru segala kenyataan yang dibuatnya tidak tepat dan mengelirukan,” kata Anwar dalam kenyataan.

Terdahulu Takiyuddin berkata tiada sebarang aktiviti pembalakan berlaku di Hutan Simpan Gunung Jerai.

Beliau dalam Dewan Rakyat berkata, bencana kepala air di kawasan itu pada Ogos lalu sebagai “takdir Allah SWT”.

Kenyataan yang seolah-olah cuba 'menyalahkan tuhan' atas kejadian itu dikritik Anwar dan beberapa aktivis alam sekitar.

Mengulas lanjut, Anwar mendesak menteri bertanggungjawab supaya lebih serius melakukan pemantauan dan berhenti menyalahgunakan konsep takdir, sedangkan faktor utama kejadian itu berpunca daripada kerakusan dan ketamakan manusia.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) perlu melakukan siasatan terperinci sama ada insiden kepala air yang berlaku mempunyai kaitan dengan aktiviti pencerobohan hutan di kawasan berkenaan.

“Ini kerana Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) sebelum ini mengenalpasti kira-kira 3,500 hektar kawasan hutan simpan di seluruh negeri ini telah diteroka secara haram sejak 2011,” katanya dengan menyatakan bahawa perubahan iklim hanya faktor sampingan kepada musibah itu.

Terdahulu , pakar hidrologi Universiti Sains Malaysia, Chan Ngai Weng turut mengeluarkan kenyataan bahawa perubahan iklim hanya faktor sampingan kepada insiden tersebut.

Ngai Weng berkata, faktor utama adalah pembalakan, aktiviti pembinaan dan penanaman (agro) serta penukaran status hutan dara ke kawasan petempatan.

Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Alam Malaysia (SAM) juga menyebut, aliran air berselut adalah bukti nyata bahawa aktiviti pembalakan berlaku dengan kadar yang melampau di kawasan terbabit dan meminta kerajaan negeri Kedah, kerajaan persekutuan serta kementerian berkaitan terus memantau dan mengambil tindakan tegas.

Menteri digesa jangan salahguna konsep "takdir tuhan'
Sebagai rekod, Takiyuddin  yang juga adalah Setiausaha Agung PAS yang sebelum ini pernah dikritik kerana mengelirukan Dewan.

Ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dibawah kerajaan MahiaddinMd Yasin, Takiyuddin telah membuat pengumuman pembatalan Ordinan Darurat di parlimen.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin melalui satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Takiyuddin.

Pengumuman bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal perkara itu belum lagi diperkenan baginda.

Justeru Baginda beranggapan kenyataan Takiyuddin adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat

 

 

Post a Comment

0 Comments