PRU15: Khalid cabar Azmin bertanding semula di Gombak


AHLI PARLIMEN Gombak, Mohamed Azmin Ali dicabar bertanding di kawasan Parlimen dimenanginya dengan tiket parti KEADILAN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Cabaran itu disuarakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang membidas sikap Ahli Parlimen yang melompat parti dan mengkhianati mandat rakyat yang menyebabkan kerajaan dipilih rakyat pada pilihan raya lalu itu roboh.

“Saya cabar Gombak bertanding di Gombak pada PRU15. Saya cabar Bandar Tun Razak (Kamarudin Jaafar) bertanding di Bandar Tun Razak.

“Awak khianat setelah awak menang. Awak lompat sehingga kerajaan pilihan rakyat dijatuhkan.

“Kamu menang atas sokongan penyokong-penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN). Kamu khianati mereka,” katanya.

Menurut Pengarah Komunikasi parti Amanah itu lagi, budaya lompat parti telah menjadi dan menjadikan situasi politik negara sentiasa berada dalam keadaan tidak menentu.

Ia juga akhirnya menghasilkan kerajaan yang lemah dan majoriti amat tipis yang menjadi sebab mengapa undi percaya perlu dilakukan di Parlimen seperti dititahkan Agong.

“Budaya lompat-melompat dimulakan dengan ‘Langkah Sheraton’, ini jatuhkan kerajaan HARAPAN.

“Selepas itu kerajaan di bawah Pagoh (Muhyiddin Yassin) dijatuhkan juga bukan kerana HARAPAN, tetapi oleh 14 Ahli Parlimen Umno (yang) tarik sokongan daripada Muhyiddin.

“Ada kemungkinan Bera (Ismail Sabri Yaakob) juga akan dijatuhkan kembali. Kalau itu berlaku itu, (ia) kerana budaya politik yang buruk dan rosak diamalkan sesama mereka,” katanya.

Gombak dianggap kubu kuat parti KEADILAN
Khalid sebelumnya membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

dalam pada itu, Khalid menegaskan bahawa beliau amat setuju supaya diwujudkan undang-undang anti lompat parti diwujudkan.

Melalui langkah itu jelasnya demokrasi dapat dipulihkan dan kerajaan yang kukuh yang dipilih melalui mandat rakyat dapat ditegakkan semula.

Post a Comment

0 Comments