RUU gangguan seksual: Rina tak ada alasan tangguh lagi - Rara


KENYATAAN menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun yang berkata bahawa mangsa gangguan seksual boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa tanpa menunggu Rang Undang-Undang berkaitan digubal sekali lagi dikritik.

ADUN Ketari, Young Syefura Othman berkata, kenyataan Ketua Srikandi parti Bersatu itu seolah-olah tiada empati dan mengambarkan dia tidak mempunyai kesungguhan untuk merealisasikan penggubalan Rang Undang-undang Gangguan Seksual yang diusahakan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini.

“Apa yang lebih mengecewakan ialah kenyataan menteri menunjukkan dia tidak peka dan tidak faham bahawa disebabkan tiadanya undang-undang yang boleh dirujuk bagi kes gangguan seksual, ia menyukarkan untuk sebarang siasatan dan tindakan terhadap laporan yang dibuat.

“Cadangan Rina yang tidak munasabah juga menunjukkan menteri terbabit sebenarnya tidak ada langsung mempunyai political will (keazaman politik) untuk meneruskan usaha yang dijalankan oleh menteri dan timbalan menteri sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HRAPAN) dulu," katanya dalam kenyataan.

Rina dalam laporan media baru-baru ini berkata, RUU tersebut bukan membabitkan pindaan, sebaliknya RUU baru yang mengambil masa untuk digubal dan melibatkan banyak kementerian manakala drafnya kini di peringkat penelitian Jabatan Peguam Negara. oleh itu mangsa gangguan seksual tidak perlu menunggu peruntukan RUU berkaitan dikuatkuasakan.

Terdahulu, Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fuziah Salleh turut mempersoalkan sikap Rina yang dilihat keberatan untuk merealisasikan usaha dimulakan menteri sebelumnya, Datuk seri Dr Wan Azizah dan Hannah Yeoh, sebagai timbalan menteri.

Fuziah yang merupakan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menyifatkan Rina sebagai seorang yang gagal menggunakan kedudukannya sebagai menteri untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Young Syefura turut mempersoalkan mengapa Rina masih memberikan alasan RUU berkenaan perlu mengambil masa untuk digubal, sedangkan pemimpin Wanita Bersatu itu sudah menyandang jawatan tersebut sebanyak dua kali.

“Adakah menteri benar-benar mengambil serius mengenai hal ini?” soalnya.

Kata Young Syefura lagi, ramai mangsa yang enggan membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana berasakan mereka tidak akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Adun terbabit turut memberi contoh bagaimana dia membuat laporan polis selepas menerima mesej lucah di Facebooknya.

Katanya, kes tersebut hanya boleh disiasat menggunakan peruntukan Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Tiada satu pun daripada peruntukan yang digunakan untuk menyiasat kes ini merujuk dan mengklasifikasikan perbuatan tersebut sebagai satu jenayah gangguan seksual dan si pelaku tidak boleh didakwa, apa lagi disabitkan kesalahan ke atas jenayah gangguan seksual yang dilakukannya,” katanya yang turut menekankan bahawa gangguan seksual tidak hanya terhad kepada wanita.

Rara sifatkan kenyataan Rina tiada empati
“Saya berharap Menteri tidak lagi mengeluarkan kenyataan tone deaf (tidak sensitif) dan tiada empati berkaitan dengan hal ini sebaliknya segera melaksanakan tugas dengan agresif demi golongan yang diwakili melalui kementeriannya,” katanya.

Justeru tambahnya, Rina  tiada alasan lagi untuk diberikan bagi menangguh pembentangan RUU itu.

Post a Comment

0 Comments