HARAPAN gesa harga siling kit ujian Covid-19 ditetapkan pada RM5

 


KERAJAAN digesa menetapkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 kepada RM5 pada penghujung November depan.

Gesaan itu dibuat Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui satu kenyataan susulan pandangan bahawa harga siling ditetapkan pada RM19.90 ketika ini dianggap masih tinggi dan membebankan rakyat, khasnya golongan B40.

"Setiap unit kit ujian kendiri merupakan kit yang hanya dapat digunakan oleh seorang dan digunapakai sekali sahaja, ia tidak dapat diulang pakai. Dengan itu, nilainya akan hangus dalam sekelip mata.

"Keperluan dan permintaan untuk kit ujian kendiri ini amat tinggi pada masa kini dan ia akan terus meningkat, kerana ia merupakan kaedah yang paling cepat dan mudah untuk menyaring seseorang sama ada mereka telah dijangkit oleh virus Covid-19 atau sebaliknya," kata jawatankuasa itu.

Tambah mereka harga siling ditetapkan sekarang turut membebankan golongan M40.

Dalam kenyataan sama, mereka turut membidas pengumuman Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz bahawa kerajaan hanya akan menurunkan lagi harga siling berkenaan menjelang akhir tahun ini.

"Ini membuktikan kerajaan tidak prihatin terhadap masalah rakyat, dan keputusan ini juga bercanggah dengan semangat Keluarga Malaysia," tegas jawatankuasa itu lagi.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup HARAPAN dianggotai tujuh Ahli Parlimen dan dua ADUN iaitu Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang); Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat); Chong Chieng Jen (Stampin); N Sivakumar (Batu Gajah); Chan Foong Hin (Kota Kinabalu); Cha Kee Chin (Rasah);ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris dan Norhayati Bachok (Maharani).

Kerajaan wajib turunkan lagi harga kit ujian
"Kerajaan berkewajiban mengurangkan harga siling runcit kepada paras RM15 menjelang akhir bulan ini, dan seterusnya pada paras bawah RM10 pada akhir bulan Oktober.

"Harga yang sewajarnya untuk kita ini pada masa depan ialah sekitar RM5.00 dan harga ini wajar diperkenalkan pada hujung bulan November," kata jawatankuasa itu.

Post a Comment

0 Comments