Rashid tolak usul kosongkan jawatan Speaker, dedah Fahmi


AHLI PARLIMEN
Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa usul supaya Azhar Azizan Harun mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditolak timbalan Speaker, Mohd Rashid Hasnon.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyatakan perkara itu di halaman Twitternya pada Khamis dengan menjelaskan bahawa surat meolak usul itu diterima dari pejabat Mohd Rashid.

“Usul saya untuk menyingkirkan Datuk Azhar Azizan Harun (Yang di-Pertua Dewan Rakyat) ditolak oleh Rashid.

“Kedua-dua surat tersebut diemail kepada saya oleh kerani Dewan pada 30 Ogos 2021,” ujarnya.

Pendedahan itu dibuat selepas Azhar pada Khamis menafikan pihaknya menolak 15 usul yang dibawa Ahli Parlimen agar mengosongkan jawatannya.

Azhar sebaliknya menegaskan telah mengutus surat kepada kesemua pengusul bahawa beliau tidak akan sama sekali membuat apa-apa keputusan mengenai semua usul tersebut kerana mempunyai percanggahan kepentingan atau ‘conflict of interest’.

Jelas Azhar, beliau tidak pernah mengambil bahagian dalam apa cara sekalipun atau campur tangan di dalam apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut.

Mohd Rashid dalam suratnya memberitahu bahawa usul dikemukakan Fahmi tidak teratur mengikut Peraturan Mesyuarat 4(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya juga mendapati usul Yang Berhormat tidak didahului oleh pemberitahu di bawah Peraturan Mesyuarat 27 yang merupakan syarat dalam mengemukakan usul.

Surat tolak usul dari Pejabat Timbalan Speaker
“Oleh itu saya tidak dapat membenarkan usul Yang Berhormat ini dibawa ke Majlis Mesyuarat,” kata surat bertarikh 25 Ogos itu yang ditandatangani Mohd Rashid itu.

Fahmi turut memberitahu bahawa usul sama dikemukakan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, turut ditolak.

Post a Comment

0 Comments