NASP: Apa pendirian sebenar k'jaan persekutuan


KERAJAAN Persekutuan digesa memberi penjelasan mengenai pendirian mereka dalam isu pembinaan dan pembesaran lapangan terbang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur Pulau Pinang, Zairil Khir Johari membuat gesaan itu setelah Kedah merancang membina lapangan terbang baharu di tenggara Sungai Petani yang akan dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

ADUN Tanjung Bungah itu berkata, Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang diumumkan Kementerian Pengangkutan tahun lalu mengarahkan semua kerja menaik taraf atau pembinaan lapangan terbang baharu perlu ditangguhkan sehingga kajian berskala besar selesai pada 2023.

Namun dengan pengumuman pembinaan lapangan terbang di Kedah, ia menimbulkan persoalan mengenai status projek peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang kini ditangguhkan susulan NASP.

“Adakah projek lapangan terbang Kulim dipersetujui dan diluluskan kerajaan persekutuan, walaupun semua projek lapangan terbang ditangguhkan sementara menunggu NASP?”

“Jika kerja di lapangan terbang Kulim diteruskan, apakah kesannya ke atas peluasan lapangan terbang Pulau Pinang? Lapangan terbang ini ialah sumber keuntungan Malaysia Airports dari segi ketibaan penumpang dan kargo.

“Dengan peningkatan kadar vaksinasi dan sektor ekonomi dibuka secara beransur-ansur, ia tidak memerlukan masa lama untuk lapangan terbang itu mencapai tahap dahulu dari segi jumlah penumpang.

“Oleh itu, tidakkah bijak untuk memulakan peluasannya sekarang ketika lapangan terbang itu hampir kosong sebagai persiapan buat masa depan?” soalnya dalam kenyataan.
 
Terdahulu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dipetik laporan media berkata, pembinaan lapangan terbang Kulim akan dipercepatkan “seperti dijanjikan” Kementerian Pengangkutan walaupun NASP.

Zairil soal pendirian K'jaan Persekutuan


Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong pula dilaporkan berkata, projek lapangan terbang baharu itu sudah diberikan kelulusan prinsip oleh kerajaan.


Untuk rekod, lapangan terbang Pulau Pinang yang sepatutnya dinaik taraf daripada mengendalikan 6.5mppa kepada 12mppa pada 2020 tidak diteruskan selepas kerajaan baharu dibentuk tahun lalu.  


Post a Comment

0 Comments