PADA Rabu, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf Bukit Bendera, Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera Malaysia.
Pengumuman itu dibuat dalam mesyuarat ‘International Coordinating Council of the 33rd Session of the International Coordinating Council of the Man and the Biosphere Programme (ICC MAB)’ kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Takiyuddin Hassan dipetik laporan media.
Menteri dari PAS itu berkata, pengiktirafan itu adalah tanda kejayaan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP dalam pengurusan kawasan berkepentingan biodiversiti di samping komitmen dalam melaksanakan pembangunan mampan.
“Bukit Bendera merupakan tapak rizab biosfera negara ketiga selepas Tasik Chini, Pahang (2009) dan Banjaran Crocker, Sabah (2014) diiktiraf di bawah ‘Program Man and the Biosphere’ (MAB) oleh UNESCO.
“Kementerian ini yakin bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus komited dalam menguruskan tapak rizab biosfera ini dengan baik dan berusaha mengekalkan status pengiktirafan ini pada masa akan datang demi melaksanakan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan di bawah program MAB ini,” katanya dalam kenyataan.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata rizab biosfera Bukit Bendera berkeluasan 12,481ha merupakan ‘green lung’ atau ‘paru-paru hijau’ kepada Pulau Pinang dan ia melibatkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuk Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan.
Rizab biosfera Bukit Bendera juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin dengan setiap ekosistem menyokong pelbagai rangkaian flora dan fauna, termasuk mamalia dan burung hijrah migrasi terancam.
![]() |
Simbol kejayaan P.Pinang jaga alam sekitar |
“20 spesies flora dan 550 spesies fauna di kawasan ini telah disenaraikan sebagai terancam dalam ‘International Union for Conservation of Nature’s Red List’ (IUCN Red List) seperti penyu, ikan lumba-lumba, tenggiling, kongkang dan ‘Penang Island Rock gecko’,” katanya dipetik.
0 Comments