PUTRAJAYA digesa segera membuat pindaan terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan - berhubung percubaan bunuh diri di Dewan Rakyat.
Gesaan itu disuarakan Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam satu kenyataan.
Kata Wan Azizah, pendemik Covid-19 telah menjadikan isu kesihatan mental menjadi perkara makin meruncing susulan ia menyebabkan tekanan yang cukup besar kepada kehidupan rakyat secara amnya.
Justeru beliau mengalu-alukan usah untuk tidak lagi menjadikan percubaan bunuh diri sebagai jenayah.
"Kes penyakit mental telah menjadi semakin runcing pada waktu ini berikutan pandemik Covid-19.
"Individu yang cuba membunuh diri sewajarnya tidak dihukum, sebaliknya mereka perlu diberi rawatan bagi mengatasi isu kecelaruan mental mereka, sesuai dengan strategi mencegah, memulih dan merawat.
"Cadangan ini telah pun dibincang lebih dua tahun lalu, dan diputuskan pada waktu itu supaya Jabatan Peguam Negara mengkaji cadangan untuk mengeluarkan cubaan bunuh diri daripada Kanun Keseksaan," katanya.
Pejabat Peguam Negara (AGC) dilapor sedang menimbang cadangan untuk tidak lagi menjadikan percubaan membunuh diri sebagai jenayah.
Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, individu yang cuba membunuh diri boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pelbagai pihak sekian lama menggesa agar perkara itu tidak lagi dianggap sebagai jenayah dan menggesa supaya individu yang berbuat demikian diberi rawatan kesihatan mental dan bukannya hukuman.
Beberapa negara antaranya United Kingdom, New Zealand, India dan Singapura telah mengeluarkan percubaan membunuh diri daripada sistem keadilan jenayah.
Sementara itu menurut Wan Azizah, cadangan itu merupakan antara lima perkara utama yang diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikannya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Jun 2019.
![]() |
Jangan tambah stigma masyarakat kepada mangsa |
"Bulan kesedaran Oktober ini boleh dijadikan sebagai satu platform bagi memperolehi input daripada pemegang taruh supaya Jabatan Peguam Negara boleh menyiapkan cadangan pindaan undang-undang berkaitan hal ini untuk dikemukakan semasa sidang penggal kelima Parlimen ke-14," katanya lagi.
0 Comments