SEORANG pakar penyelidikan menegaskan bahawa blok pembangkang tidak akan hilang 'taringnya' apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.
Felo Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Hamidin Abd Hamid berkata, rakyat tidak perlu bimbang bahawa keberkesanan fungsi semak dan imbang di Parlimen akan terjejas melalui tindakan itu kerana pada asasnya mereka perlu bertanggungjawab dengan rakyat yang diwakili mereka.
Beliau berkata, berdasarkan tujuh perkara yang dipersetujui dalam MoU tersebut, ia tidak membawa maksud Pembangkang hanya akan menuruti apa yang dilakukan Kerajaan, kerana masih banyak perkara dalam urus tadbir yang disemak.
“Adakah ini berakhir era pembangkang? Adakah pembangkang akan turut serta dalam apa saja kerajaan? Saya rasakan ia tidak harus bersifat demikian. Parlimen harus terus menjadi wadah untuk kita lakukan semak dan imbang.
“Hadkan tempoh masa Perdana Menteri, Undi18, paling penting perbelanjaan negara dan sebagainya. Ini saya kira satu keadaan di mana Kerajaan memainkan peranan, membawa bersama Pembangkang, bukan sahaja dalam proses melakukan dasar.
"Tetapi yang paling penting dalam konteks penyampaian kepada rakyat,” katanya dipetik program Buletin AWANI pada Isnin.
Semalam Pakatan Harapan (HARAPAN) yang merupakan blok terbesar pembangkang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan Ismail Sabri Yaakob.
Secara asasnya, dengan pemeteraian itu, HARAPAN tidak akan menghalang kerajaan dalam undi kritikal di Dewan Rakyat yang boleh membawa kesan terhadap survivalnya, seperti belanjawan.
Sebagai pertukaran, kerajaan akan mengusahakan sejumlah pembaharuan dan dasar yang sebelum ini dibawa kerajaan HARAPAN.
MoU berkenaan juga secara dasarnya bertujuan untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pedekatan kerjasama secara “dwipartisan“.
![]() |
Peranan pembangkang di Parlimen sangat penting |
0 Comments