Anwar gesa KKM libatkan pakar awam dalam usaha lawan Covid-19


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  menjalankan libat urus dengan pakar-pakar di sektor awam mahupun swasta sebagai usaha untuk mengelakkan lebih banyak kematian akibat Covid-19.

Mengulas laporan yang mencatatkan 592 kematian akibat pendemik itu pada 11 September, Anwar berkata bahawa negara memerlukan tahap ketelusan yang lebih lagi bagi memastikan punca-punca kematian.

“Misalnya, adakah terdapat kelewatan untuk para pesakit menerima rawatan.

“Meski angka yang tinggi adalah kes-kes yang tertunggak, ia tetap tidak boleh menafikan fakta bahawa angka-angka kematian ini terutamanya yang mati di luar hospital (BID) sangat tinggi dan cukup membimbangkan.

“Negara telah menyaksikan lebih 20,000 kematian akibat wabak. Ini mungkin dianggap remeh dan tidak termasuk berapa banyak pesakit bukan Covid-19 yang kesihatannya terus terjejas kerana kelewatan menerima pemeriksaan dan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Difahamkan, jumlah kematian yang tinggi itu antara lain disumbangkan kes tertunggak atau 'backlog' yang tidak dilaporkan sebelum ini.

Kematian tertinggi pernah dilaporkan di negara ini adalah pada 26 Ogos lalu iaitu sebanyak 393 kes.

Sementara itu tegas Anwar, setiap angka kematian bukan sekadar statistik tetapi mereka yang punya orang yang tersayang di sekelilingnya.

Negara ujar beliau terus mendapat kesan buruk termasuk keyakinan pengguna domestik untuk berbelanja meskipun prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor ekonomi kini telah banyak dilonggarkan.

Anwar gesa penglibatan pakar awam


“Para pelabur luar juga masih tidak melihat Malaysia sebagai destinasi penting pelaburan,” ujarnya sambil sekali lagi menekankan keperluan untuk kerajaan menyuntik RM45 bilion lagi pakej rangsangan bagi melawan kesan pendemik itu.


“Ini tidak hanya akan menopang (sokongan) golongan yang terkesan secara ekonomi, tetapi juga akan membantu memperbanyak pembangunan dan pembinaan pusat-pusat kesihatan,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments