MoU Ismail lebih terhormat dari tawaran 'talian hayat' Mahiaddin

 

PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), DatuK Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa perjanjian yang baru ditandatangani dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob adalah memorandum persefahaman (MOU) dan bukan perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA).

Dalam ucapan di Dewan Rakyat semalam, Ketua Pembangkang itu turut berkata, MoU itu berbeza dengan apa yang dikemukakan Mahiaddin Md Yassin menjelang kejatuhannya sebelum ini.

"Ini ada isu fundamental yang berbeza. Yang dikemukakan yang ditawarkan Pagoh adalah bentuk CSA yang menuntut kami menyokong dan mengabsahkan kerajaan.

"Persefahaman ini (dengan kerajaan Ismail Sabri) menekankan peranan kita sebagai pembangkang dan kita boleh menolak jika tidak ada rundingan," kata Anwar dalam ucapannya di Dewan Rakyat.

Dibawah demokrasi berparlimen Westminster menurut Anwar, CSA seperti diminta pentadbiran Mahiaddin tidak hanya akan mengabsahkan kerajaan tetapi juga memerlukan jaminan kepercayaan untuk kerajaan serta sokongan terhadap belanjawan.

Manakala dalam persefahaman dengan kerajaan Ismail, Anwar berkata bahawa tiada syarat dalam MoU itu bahawa HARAPAN mesti menyokong Ismail sekiranya berlaku undi percaya.

"Itu tidak berlaku dengan kerjasama ini," kata Anwar.

Presiden KEADILAN itu turut berkata, MoU dikemuka Ismail hadir ketika diberi kuasa sebagai perdana menteri, manakala Mahiaddin mengemuka tawarannya bagi mempertahan kedudukan sebagai perdana menteri yang terancam ketika itu.

Dihujung tampuk kuasanya, Mahiaddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh membuat tujuh tawaran kepada pembangkang.

Ia antaranya sekiranya Kerajaan Mahiaddin berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang UndangUndang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

Mahiaddin juga menawarkan pemberian peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira parti politik bagi tujuan pembelian bakul makanan selain Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan sekiranya tawaran itu disambut.

Bagaimanapun Majlis Presiden HARAPAN menolak bulat-bulat tawaran yang disifatkan terlewat itu yang menyaksikan Mahiaddin akhirnya terpaksa akur untuk meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti Ahli Dewan.

Sementara itu ketika mengulas memorandum itu, Anwar menegaskan bahawa HARAPAN tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa tidak ada lagi keperluan untuk undi percaya terhadap Ismail.

Namun, dia mengatakan mereka tidak ingin isu keabhsahan membayangi usaha menentang pandemik Covid-19, yang harus diutamakan.

"Jadi, walaupun kami tidak setuju untuk tidak meneruskan undi percaya, kami tetap bekerjasama untuk membincangkan memorandum itu," tambahnya.

Dalam dokumen MOU antara PH dan kerajaan pimpinan Ismail, kerajaan menjanjikan sejumlah reformasi dalam jangka waktu tertentu, dan juga berjanji untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

MoU dengan Ismail bukan tawaran gula-gula
Sebagai balasannya, HARAPAN berjanji tidak akan menggunakan undi mereka menggulingkan Ismail Sabri atau menyekat Belanjawan 2022 selagi pembaharuan yang dijanjikan mengikut jadual dan mereka akan dilibatkan dalam perbincangan mengenai Rang Undang-Undang Belanjawan.

Pada masa sama, HARAPAN mengatakan mereka akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan untuk memperjuangkan isu rakyat.


Post a Comment

0 Comments