Dewan kosong, mana menteri dan timbalan hilang, soal Syed Saddiq


KETIADAAN
jemaah menteri dalam Dewan Rakyat ketika perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dipersoalkan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman ketika mencelah perbahasan Anwar semalam berkata, sebahagian besar kerusi blok kerajaan terutama yang menempatkan menteri dan timbalan menteri didapati kosong.

Situasi itu menurutnya sangat memalukan, bukan sahaja tidak menghormati institusi pembangkang, malah tidak menghormati Parlimen tambaham lagi kerajaan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengiktiraf peranan pihak pembangkang sehari sebelumnya.

"Selepas perjanjian semalam (Isnin), sepatutnya secara dwi-parti hubungan itu sepatutnya lebih baik.

"Tetapi pada hari ini apabila ketua pembangkang sedang berikan ucapan, di depan hanya seorang menteri dan timbalan menteri... yang lain semua hilang," tegurnya.

Difahamkan,  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Parlimen Kapit, Alexander Nanta Linggi berada dalam Dewan ketika itu.

"Ini masa terbaik untuk berbahas mencari jalan penyelesaian bersama untuk rakyat.

"Kami dibayar gaji yang mewah untuk hadir ke Parlimen, bukan ponteng," ciap Syed Saddiq di Twitter beliau kemudiannya.

Turut menzahirkan rasa kecewa ekoran ketidakhadiran menteri dan timbalan menteri adalah Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya.

Syed Saddiq persoal kemana menteri hilang
"Banyak kerusi kosong. Sekurang-kurangnya 10 peratus daripada mereka harus hadir. Kita ada Kabinet besar. Kami berdebat tetapi hanya kerusi yang mendengar," katanya ketika bangun mencelah.

Anwar ketika mengulas ketiadaan jemaah menteri itu berkata beliau bersetuju dengan apa yang dibangkitkan Ahli Parlimen Muar itu.

"Mereka sepatutnya hadir dengar kerana ini adalah isu yang penting," tegas Anwar.

Post a Comment

0 Comments